PIALA Dunia 2026 bukan sekadar kejohanan bola sepak terbesar dunia, malah menjadi pentas yang mempamerkan evolusi teknologi penyiaran sukan.
Edisi ke-23 ini mencatat sejarah apabila buat pertama kali dianjurkan bersama tiga negara iaitu Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico.
Kejohanan yang berlangsung di 16 bandar di Amerika Utara memerlukan sistem penyiaran yang jauh lebih cekap dan tersusun. Bagi tujuan itu, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjadikan Dallas, Texas sebagai Pusat Penyiaran Antarabangsa yang berfungsi sebagai hab media global sepanjang kejohanan.
Model penyiaran kali ini beralih daripada konsep produksi tradisional kepada Model Integrasi Jarak Jauh (REMI). Jika sebelum ini sebahagian besar kru ditempatkan di stadium, kini hanya jurukamera dan petugas teknikal penting berada di lokasi perlawanan. Sementara pengarah siaran, penyunting, operator sistem dan kru produksi lain mengendalikan operasi dari pusat penyiaran di Dallas.
Penggunaan teknologi pengkomputeran awan dan rangkaian berasaskan Protokol Internet (IP) membolehkan semua rakaman dihantar secara masa nyata untuk tujuan penyuntingan dan penyiaran.
Pendekatan ini meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos logistik dan mempercepatkan proses penerbitan kandungan.
Perkembangan teknologi turut mengubah pengalaman penonton. Jika Piala Dunia 1954 di Switzerland merupakan edisi pertama disiarkan secara langsung dalam format hitam putih, manakala edisi 1970 di Mexico memperkenalkan siaran berwarna melalui satelit, Piala Dunia 2026 pula menawarkan siaran berkualiti 4K HDR dengan visual yang jauh lebih jelas dan realistik.
FIFA turut mengukuhkan kerjasama dengan platform digital seperti YouTube dan TikTok bagi menyiarkan kandungan eksklusif serta rakaman di sebalik tabir.
Lebih menarik, FIFA memperkenalkan RefCam, iaitu kamera mikro yang dipasang pada badan dan set kepala pengadil. Dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) bagi menstabilkan imej, membolehkan penonton dapat menyaksikan perlawanan daripada perspektif pengadil sendiri. Inovasi ini bukan sahaja meningkatkan pengalaman tontonan, malah memberi gambaran sebenar tentang kepantasan dan intensiti permainan di atas padang.
Teknologi penyiaran moden juga menyokong aspek pengadilan. Selepas memperkenalkan Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) pada Piala Dunia 2018, FIFA kini memperkukuh sistem itu dengan Teknologi Ofsaid Separa Automatik (SAOT).
Teknologi ini menggunakan rangkaian kamera AI untuk mengesan kedudukan pemain dan bola secara masa nyata. Apabila berlaku situasi ofsaid yang meragukan, sistem akan menghantar amaran automatik kepada pegawai VAR bagi mempercepatkan proses membuat keputusan.
Bola rasmi kejohanan, TRIONDA, turut dilengkapi cip sensor yang menghantar data sentuhan dan kedudukan bola sebanyak ratusan kali sesaat. Maklumat ini dipadankan dengan data pergerakan pemain bagi menghasilkan keputusan ofsaid yang lebih pantas dan tepat.
Piala Dunia 2026 membuktikan masa depan penyiaran sukan bukan lagi bergantung kepada kamera semata-mata, sebaliknya digerakkan oleh AI, automasi dan analisis data. Walaupun teknologi dijangka mengambil alih sebahagian tugas teknikal pada masa hadapan, kreativiti tenaga produksi tetap menjadi faktor utama dalam menghasilkan kandungan yang berkualiti.
Justeru, institusi pengajian tinggi dan pengamal industri perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi agar kekal relevan dalam landskap penyiaran yang semakin dinamik.-UTUSAN
AHMAD SYAZWAN SYUWARI NORDIN
Universiti Teknologi Mara (UiTM)










