SEJARAH Islam membuktikan kemenangan dalam peperangan tidak hanya bergantung kepada kekuatan tentera atau kecanggihan senjata. Sebaliknya, kebijaksanaan menyusun strategi sering menjadi faktor utama yang menentukan kejayaan.
Perang Khandaq atau Ghazwat al-Ahzab pada 627 Masihi (5 Hijrah) menjadi contoh bagaimana strategi kreatif mampu mengubah keseimbangan kuasa. Ketika itu, tentera Islam hanya berjumlah sekitar 3,000 orang berbanding hampir 10,000 anggota tentera pakatan Quraisy.
Menyedari jurang kekuatan yang besar, Rasulullah SAW tidak memilih pertempuran terbuka. Sebaliknya, baginda menerima cadangan Salman al-Farisi supaya parit digali di bahagian utara Madinah bagi menghalang kemaraan tentera berkuda musuh.
Strategi tersebut bukan amalan biasa masyarakat Arab ketika itu, sebaliknya dipengaruhi tradisi ketenteraan Empayar Parsi.
Keputusan Rasulullah menerima idea daripada tamadun lain menunjukkan Islam menggalakkan keterbukaan terhadap ilmu, inovasi dan pengalaman yang membawa manfaat.
Hasilnya, tentera pakatan gagal menembusi pertahanan Madinah dan berundur selepas beberapa minggu melakukan pengepungan. Peristiwa ini membuktikan kreativiti mampu mengatasi kelemahan dari segi jumlah serta kekuatan fizikal.
Pengajaran daripada Perang Khandaq masih relevan dalam dunia hari ini apabila teknologi menjadi elemen penting dalam strategi pertahanan. Konflik melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS) memperlihatkan bagaimana inovasi membentuk corak peperangan moden.
Iran menggunakan peluru berpandu balistik, dron dan kenderaan permukaan tanpa pemandu bagi meningkatkan keupayaan serangan jarak jauh.
Pada masa sama, Israel dan AS memperkukuh pertahanan melalui sistem pemintas peluru berpandu, radar canggih serta rangkaian pertahanan udara.
Sistem pertahanan moden ini mempunyai persamaan dengan parit Khandaq kerana kedua-duanya berfungsi sebagai benteng perlindungan yang menghalang serangan musuh dan memberi kelebihan kepada pihak bertahan.
Namun, sejarah mengingatkan teknologi sahaja tidak menjamin kemenangan. Kejayaan tetap bergantung kepada kebijaksanaan merancang, ketepatan maklumat dan keupayaan membuat keputusan. Senjata paling canggih sekalipun tidak akan memberi kelebihan jika digunakan tanpa strategi yang tepat.
Perang Khandaq turut mengajar strategi pertahanan bukan sekadar untuk memenangi peperangan tetapi mengelakkan kemusnahan yang lebih besar. Dalam dunia moden, inovasi seharusnya dimanfaatkan untuk memperkukuh keselamatan dan kestabilan, bukannya mencetuskan konflik berpanjangan.-UTUSAN
DR. ANIM ZALINA AZIZAN & MEJAR MOHAMAD ZAHID MANSOR
Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) & Pusat
Latihan Tempur Tentera Darat.










