APABILA mendengar frasa kerja sosial, ramai masih mengaitkannya dengan aktiviti sukarelawan seperti menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir, menziarahi rumah kebajikan atau menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan.
Kerja sosial jauh lebih luas daripada aktiviti kebajikan. Bidang ini ialah satu profesion yang berasaskan ilmu, kemahiran dan etika, melibatkan intervensi sosial, sokongan psikologi, pengurusan krisis serta perlindungan terhadap golongan rentan.
Selama ini, pekerja sosial menjadi antara individu paling hadapan mengendalikan kes penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga, penagihan dadah, warga emas terabai dan masalah kesihatan mental.
Namun, peranan mereka sering dipandang sebagai kerja kebajikan yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa latihan khusus. Hakikatnya, setiap keputusan yang dibuat memerlukan pengetahuan, pengalaman dan pertimbangan profesional kerana melibatkan keselamatan serta masa depan individu yang dibantu.
Justeru, pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial 2026 di Dewan Rakyat baru-baru ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh profesion tersebut.
Selepas lebih sedekad dibincangkan, negara akhirnya menuju ke arah mewujudkan satu kerangka undang-undang yang mengiktiraf pekerja sosial sebagai profesion profesional, sama seperti doktor, peguam atau jurutera.
Keperluan kepada akta ini menjadi semakin mendesak apabila Malaysia berdepan kekurangan pekerja sosial yang serius.
Nisbah semasa dianggarkan hanya seorang pekerja sosial bagi setiap 8,576 penduduk, jauh lebih rendah berbanding beberapa negara lain. Kekurangan tenaga mahir menyebabkan beban tugas meningkat, sekali gus menjejaskan kualiti penyiasatan, pemulihan dan pemantauan terhadap kes berisiko tinggi.
Pada masa sama, Malaysia dijangka menjadi negara menua menjelang 2030 apabila warga emas mewakili kira-kira 15 peratus daripada jumlah penduduk.
Perubahan demografi ini akan meningkatkan keperluan kepada pekerja sosial yang mampu mengendalikan isu penjagaan warga emas, sokongan keluarga, kesunyian, kemiskinan bandar serta pelbagai cabaran sosial yang semakin kompleks.
Antara aspek paling penting dalam RUU ini ialah penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia dan Daftar Pengamal Kerja Sosial.
Melalui mekanisme ini, hanya individu yang memenuhi syarat kelayakan serta mematuhi piawaian profesional dibenarkan menjalankan amalan kerja sosial. Langkah ini bukan sekadar meningkatkan martabat profesion, malah melindungi masyarakat daripada individu yang mengaku sebagai pekerja sosial tanpa latihan atau kelayakan yang sewajarnya.
Perlindungan ini amat penting kerana pekerja sosial sering membuat keputusan yang memberi kesan besar terhadap kehidupan seseorang.
Sebagai contoh, mereka boleh mencadangkan seorang kanak-kanak dipisahkan daripada keluarganya sekiranya wujud risiko penderaan atau pengabaian. Keputusan seperti ini mesti dibuat berdasarkan penilaian profesional, bukti yang kukuh dan kod etika yang jelas, bukannya andaian atau pertimbangan peribadi.
Pada masa sama, akta ini dijangka membuka ruang kepada penambahbaikan laluan kerjaya, skim perkhidmatan dan kebajikan pekerja sosial yang selama ini berdepan tekanan emosi serta risiko keselamatan ketika mengendalikan pelbagai kes.
Sudah tentu pelaksanaannya memerlukan penyelarasan yang teliti, termasuk proses pendaftaran, pengiktirafan kelayakan sedia ada dan kerjasama erat antara kerajaan, institusi pengajian tinggi serta pertubuhan masyarakat sivil. Namun, cabaran tersebut tidak harus menghalang usaha memperkukuh profesion ini. –UTUSAN
DR. LUQMAN MAHMUD
Pensyarah Kanan Pengurusan Sumber Manusia,
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia (UUM)










