Radio kekal relevan sebar ilmu agama

Radio kekal relevan sebar ilmu agama

IKIMfm bukan sekadar sebuah stesen radio, tetapi institusi ilmu yang berpotensi menjadi peneraju ekosistem media Islam digital di rantau ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMA suku abad, stesen radio IKIMfm di bawah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) memperlihatkan keupayaan menyesuaikan kandungan dengan keperluan semasa.

Isu kesihatan mental, kecerdasan buatan (AI), media sosial, perubahan iklim, kewangan Islam, pembangunan keluarga dan cabaran generasi muda dibincangkan secara matang serta berpandukan prinsip syariah. Pendekatan ini memperlihatkan Islam sentiasa relevan dalam menangani cabaran masyarakat kontemporari.

Persoalan yang sering timbul ialah bagaimana sebuah stesen radio berorientasikan ilmu mampu terus bersaing dalam industri dikuasai kandungan hiburan malah mendekatkannya dengan generasi digital yang semakin kurang bergantung kepada radio konvensional.

AI, perubahan corak penggunaan media dan kemunculan pelbagai platform digital menuntut pembaharuan yang lebih agresif. Radio masa depan bukan lagi sekadar penyiaran audio tetapi sebahagian daripada ekosistem kandungan digital yang merangkumi audio siar, video, penstriman langsung, media sosial dan platform interaktif.

Atas sebab itu, stesen radio perlu terus memperkukuh strategi digital. Penghasilan kandungan eksklusif untuk platform digital, penggunaan teknologi AI bagi meningkatkan pengalaman pendengar, analitik data untuk memahami keperluan pendengar serta kolaborasi dengan universiti, institusi pendidikan, industri kreatif dan organisasi masyarakat mampu memperluaskan lagi pengaruhnya.

Dalam masa sama, pelaburan terhadap pembangunan bakat penyampai muda perlu dipergiatkan. Generasi baharu penyampai bukan sahaja perlu menguasai ilmu agama dan kemahiran komunikasi, malah celik teknologi serta memahami citarasa generasi muda. Mereka akan menjadi jambatan yang menghubungkan mesej Islam dengan khalayak masa depan.

Hakikatnya, masyarakat hari ini bukan sekadar memerlukan media yang pantas tetapi boleh dipercayai. Dalam suasana maklumat yang bergerak tanpa sempadan, pastinya kredibiliti menjadi aset paling bernilai.

IKIMfm bukan sekadar sebuah stesen radio tetapi institusi ilmu yang berpotensi menjadi peneraju ekosistem media Islam digital di rantau ini.

Dengan terus berpaksikan ilmu, hikmah dan inovasi, stesen radio ini pastinya diyakini kekal menjadi suara yang membimbing masyarakat serta menyumbang kepada pembinaan negara yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing di persada global. –UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR
Jabatan Teknologi dan Pengajian
Rantaian Bekalan,
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan,
Universiti Teknologi Mara (UiTM),
Kampus Puncak Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN