GOLONGAN muda hari ini membesar dalam era digital yang membolehkan akses kepada pelbagai sumber maklumat berlaku dengan pantas.
Setiap kenyataan pemimpin, pelaksanaan dasar, pencapaian kerajaan serta isu berkaitan pentadbiran dapat diperoleh dan dibandingkan dalam tempoh yang singkat.
Keadaan ini mendorong mereka menjadi lebih kritikal, analitikal dan berhati-hati dalam membuat penilaian terhadap sesuatu isu.
Bagi generasi muda yang mula menyertai proses demokrasi selepas pelaksanaan had umur mengundi 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik, mereka memasuki sistem demokrasi dalam suasana yang lebih terbuka serta dinamik.
Pendedahan kepada pelbagai sumber maklumat membolehkan mereka membuat penilaian berdasarkan pemerhatian terhadap pelaksanaan dasar, keberkesanan pentadbiran dan impak sesuatu keputusan kepada masyarakat.
Dalam konteks ini, prestasi semakin menjadi antara faktor penting dalam penilaian terhadap kepimpinan. Kepimpinan yang berkesan akhirnya lebih banyak diukur melalui hasil yang dicapai dan manfaat yang dapat dirasai oleh rakyat.
Perkembangan ini selaras dengan teori pengundian retrospektif, iaitu kecenderungan pengundi membuat penilaian berdasarkan pengalaman mereka terhadap prestasi pentadbiran terdahulu.
Melalui perspektif ini, pilihan raya menjadi mekanisme demokrasi yang membolehkan rakyat menilai keberkesanan kepimpinan sebelum menentukan sokongan pada masa hadapan.
Kepercayaan masyarakat perlu dipelihara melalui tadbir urus yang cekap, dasar yang responsif, ketelusan dalam membuat keputusan serta kesediaan mendengar pandangan pelbagai pihak.
Dalam demokrasi yang semakin matang, sokongan rakyat bukanlah sesuatu yang kekal, sebaliknya dipengaruhi oleh prestasi dan keupayaan memenuhi harapan masyarakat.
Perkembangan ini juga memberikan isyarat bahawa persaingan politik pada masa hadapan dijangka semakin dipengaruhi oleh rekod pencapaian, keupayaan menyelesaikan isu masyarakat, kualiti kepimpinan serta keberkesanan pelaksanaan dasar.
Pendekatan tersebut berpotensi mengukuhkan amalan demokrasi yang lebih berasaskan prestasi dan akauntabiliti.
Perubahan corak pemikiran pengundi, khususnya dalam kalangan generasi muda, mencerminkan kematangan demokrasi yang semakin berkembang.
Penilaian terhadap kepimpinan kini dilihat semakin berpandukan prestasi, integriti dan keberkesanan pentadbiran.
Perkembangan ini berpotensi menggalakkan budaya politik yang lebih bertanggungjawab, berorientasikan hasil serta memberi tumpuan kepada kepentingan masyarakat secara menyeluruh. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. AHMAD AIZUDDIN MD. RAMI
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS)
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia (UPM)










