PERTUBUHAN Ikram Malaysia (Ikram) menyambut baik syor-syor Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen berkaitan pelaksanaan pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya. Langkah ini merupakan satu anjakan penting bagi memastikan pindaan perlembagaan selaras dengan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.
Matlamat utama pemisahan ini mestilah berteraskan usaha menjamin ketelusan dan integriti pendakwaan serta memastikan institusi ini bebas sepenuhnya daripada sebarang campur tangan politik atau pihak eksekutif. Sehubungan itu, Ikram ingin mengemukakan beberapa pandangan bagi memperkukuh syor yang sedia ada:
– Prosedur pelantikan
Yang di-Pertuan Agong wajar melantik pendakwa raya atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP), dengan larangan mutlak kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri daripada memberi nasihat mengenai pelantikan tersebut. Walau bagaimanapun, perlunya ada penambahbaikan terhadap komposisi anggota SPKP agar ia benar-benar bebas dan tidak dipengaruhi oleh pengaruh eksekutif secara tidak langsung.
– Peranan semak dan imbang
Selain daripada memberikan ulasan mengenai calon, Parlimen perlu mempunyai kuasa yang lebih besar untuk mengawal selia fungsi pencalonan oleh SPKP serta menjadi lapisan tambahan yang aktif dalam proses pemilihan dan pemecatan bagi menjamin akauntabiliti yang lebih tinggi.
– Tempoh jawatan
Cadangan tempoh jawatan pendakwa raya selama tujuh tahun tanpa kemungkinan pembaharuan atau pelantikan semula ini penting bagi memastikan pendakwa raya dapat menjalankan tugas secara objektif tanpa bimbang tentang kedudukan jawatan tersebut.
– Penamatan jawatan
Selain daripada pematuhan kepada kod etika bertulis, proses pemecatan atau penamatan tugas pendakwa raya sewajarnya melibatkan Parlimen melalui JKPK secara langsung. Ini bagi memastikan sebarang keputusan dibuat berdasarkan pertimbangan yang adil.
-Akauntabiliti
Laporan tahunan yang merangkumi aspek pentadbiran, pengurusan dan kewangan tidak seharusnya sekadar dibentangkan di Parlimen tetapi mestilah disemak secara khusus dan mendalam oleh JKPK bagi memastikan setiap tindakan pendakwaan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang yang adil.
Dengan memperkukuh peranan Parlimen dan memastikan kebebasan suruhanjaya yang terlibat, institusi pendakwa aya akan menjadi benteng keadilan yang teguh dan dihormati oleh semua rakyat Malaysia.
BADLISHAH SHAM BAHARIN
Presiden Pertubuhan Ikran Malaysia










