SETIAP kali berlaku kemalangan jalan raya yang meragut nyawa, masyarakat sering didedahkan dengan pelbagai maklumat berkaitan pemandu atau penunggang yang terlibat. Antaranya ialah jumlah saman trafik yang pernah diterima, malah ada yang mencecah puluhan hingga ratusan kesalahan.
Apakah tujuan sebenar mendedahkan rekod saman tersebut kepada umum selepas nyawa terkorban dan keluarga kehilangan insan tersayang?
Tidak dinafikan, rekod saman boleh memberi gambaran tentang tahap pematuhan seseorang terhadap undang-undang jalan raya. Pengguna yang berulang kali melakukan kesalahan sememangnya berisiko lebih tinggi terlibat dalam kemalangan. Namun, apabila maklumat itu hanya didedahkan selepas tragedi berlaku, menimbulkan persoalan sama ada tindakan pencegahan dilakukan lebih awal.
Rakyat sebenarnya tidak hanya mahu mengetahui jumlah saman selepas kemalangan berlaku. Mereka mahu melihat sistem yang mampu mengesan risiko lebih awal dan mencegah tragedi daripada berlaku.
Jika seseorang mempunyai rekod kesalahan trafik yang serius dan berulang, maka tindakan seperti pemantauan, pendidikan semula atau penggantungan lesen perlu dipertimbangkan mengikut tahap kesalahan. Begitu juga kenderaan yang sering melakukan pelanggaran undang-undang perlu diberikan perhatian khusus.
Dalam konteks keselamatan jalan raya, kejayaan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah saman yang dikeluarkan. Ukuran sebenar ialah sejauh mana kadar kemalangan dan kematian dapat dikurangkan.
Setiap kemalangan maut bukan sekadar angka dalam statistik. Ia melibatkan kehilangan nyawa, kesedihan keluarga serta kesan besar kepada masyarakat. Sebab itu, pendekatan keselamatan jalan raya perlu memberi fokus kepada pencegahan, bukan hanya tindakan selepas kejadian berlaku.
Penguatkuasaan yang konsisten, penggunaan teknologi pemantauan, pendidikan keselamatan jalan raya serta tindakan terhadap pesalah berulang perlu menjadi keutamaan. Rekod saman boleh membantu siasatan tetapi tidak sepatutnya menjadi perkara utama yang mengalihkan perhatian daripada usaha mencari penyelesaian sebenar.
Masyarakat hari ini semakin matang dalam melihat isu keselamatan jalan raya. Mereka bukan sekadar mahu mengetahui berapa banyak saman yang diterima oleh pelaku selepas tragedi berlaku tetapi mahu tahu apakah langkah yang diambil sebelum kejadian untuk melindungi nyawa pengguna jalan raya lain. –UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan










