Jadi juara bukan hanya kerana taktikal atau pemain

Jadi juara bukan hanya kerana taktikal atau pemain

PENGUNDI perlu kembali kepada perkara asas iaitu memilih berdasarkan fakta, bukan persepsi; berdasarkan prestasi, bukan retorik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA Sepanyol muncul sebagai juara Piala Dunia 2026, ramai mengaitkan kejayaan itu dengan taktikal jurulatih, kehebatan pemain dan sistem pembangunan bola sepak yang mantap. Namun, di sebalik semua itu, terdapat satu nilai yang menjadi asas kejayaan mereka, iaitu kepercayaan.

Semua bermula dengan peluang pertama yang diberikan oleh seseorang yang percaya kepada kemampuan mereka. Mereka berkembang kerana diberi peluang untuk mencuba, belajar daripada kesilapan dan menimba pengalaman.

Di sinilah pentingnya kepercayaan terhadap potensi seseorang. Kepercayaan bermaksud memberikan ruang kepada seseorang untuk belajar sambil dibimbing. Kesilapan yang berlaku bukanlah kegagalan tetapi sebahagian daripada proses pembelajaran. Individu yang sentiasa diberi kepercayaan akan mampu membina keyakinan diri, membuat keputusan dan menghadapi cabaran.

Negara kita sebenarnya mempunyai ramai anak muda yang berbakat. Mereka membuktikan kemampuan dalam bidang akademik, penyelidikan, inovasi, teknologi, keusahawanan, sukan dan pelbagai lagi. Malah, ramai antara mereka berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Ini menunjukkan potensi yang dimiliki generasi muda sememangnya besar dan wajar terus diperkasakan. Yang penting, bakat mereka terus dipupuk dalam persekitaran yang memberi sokongan dan peluang untuk berkembang. Peluang yang sesuai, bimbingan berterusan serta keyakinan daripada masyarakat mampu menjadi pemangkin kepada kejayaan.

Pengalaman itu sendiri dibina melalui peluang yang diberikan secara berperingkat. Dengan cara itu, kesinambungan kepimpinan, kemahiran dan kecemerlangan dapat diteruskan dari satu generasi ke generasi berikutnya.

Kisah kejayaan Sepanyol di Piala Dunia sebenarnya memberikan pengajaran yang cukup bermakna kepada kita semua. Ia mengingatkan kejayaan bukan hanya bergantung kepada kepakaran atau kemudahan yang dimiliki tetapi juga kepada sejauh mana kita berani mempercayai potensi manusia.

Apabila seseorang diberikan peluang, disokong dengan bimbingan yang betul dan diyakini kebolehannya, mereka mampu mencapai sesuatu yang mungkin di luar jangkaan.

Setiap juara, walau sehebat mana sekalipun, pernah bermula sebagai seorang yang diberi peluang untuk belajar, berkembang dan membuktikan kemampuannya.

Kepercayaan itulah yang akhirnya melahirkan seorang juara. Setiap kejayaan besar bermula apabila seseorang berani memberi peluang dan meletakkan kepercayaan kepada potensi orang lain. –UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. NORLAILA ABDULLAH CHIK
Pusat Pengajian Kerajaan,

Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN