KEHADIRAN kecerdasan buatan (AI) kini bukan lagi sekadar membantu urusan harian seperti pekerjaan pejabat atau sistem automasi, malah teknologi ini mula memasuki ruang pembelajaran al-Quran.
Hari ini, pelbagai aplikasi pintar mampu menyemak bacaan, mengenal pasti kesalahan tajwid dan membantu pengguna memperbaiki kelancaran bacaan secara langsung.
Kemajuan ini membuka ruang besar kepada masyarakat untuk mendekati al-Quran dengan lebih mudah tanpa batasan masa dan tempat. Namun, perkembangan tersebut turut menimbulkan persoalan penting. Sejauh manakah teknologi yang dibangunkan manusia mampu menggantikan peranan seorang guru dalam membimbing bacaan al-Quran?
Adakah kemudahan AI akan menjadi alat sokongan atau menyebabkan masyarakat semakin menjauh daripada tradisi berguru yang telah diwarisi sejak dahulu?
Dalam menghadapi perubahan teknologi ini, kita tidak seharusnya menolak kehadiran AI secara mutlak. Sebaliknya, teknologi perlu dilihat sebagai alat bantu yang mampu memudahkan proses pembelajaran.
Bagi individu yang baru ingin belajar mengaji, khususnya golongan dewasa yang berasa malu atau segan untuk berguru semula, aplikasi AI boleh menjadi ruang permulaan yang selesa untuk berlatih.
Kemampuan sistem pengecaman suara yang semakin canggih juga membantu pengguna mengenal pasti kesalahan asas seperti kesilapan sebutan huruf, baris dan hukum tajwid tertentu.
Bagi generasi muda yang membesar dalam dunia digital, pendekatan ini mampu menarik minat mereka untuk lebih dekat dengan al-Quran.
Selain itu, gaya hidup masyarakat moden yang semakin sibuk menjadikan aplikasi AI satu kemudahan yang bernilai. Pengguna boleh berlatih membaca atau mengulang hafazan pada bila-bila masa tanpa perlu terikat dengan jadual tertentu.
Namun, kemajuan teknologi tetap mempunyai batasnya. Pembelajaran al-Quran bukan hanya berkaitan ketepatan bacaan tetapi turut melibatkan proses talaqqi dan musyafahah, iaitu pembelajaran secara bersemuka antara murid dan guru.
Tradisi ini memastikan pelajar menerima bacaan yang tepat melalui pemerhatian langsung terhadap sebutan, gerakan lidah dan makhraj huruf.
AI mungkin mampu mengesan bunyi dan pola bacaan tetapi tidak mampu melihat secara fizikal bagaimana seseorang menyebut sesuatu huruf. Perbezaan sebutan antara huruf seperti “ص” dan “س” atau “ح” dan “ه” memerlukan penelitian seorang guru yang berpengalaman. Kesilapan kecil dalam bacaan juga mungkin tidak dapat dikesan dengan tepat oleh sistem digital, terutama apabila berdepan gangguan bunyi atau perbezaan dialek pengguna.
Lebih penting, proses belajar al-Quran bukan sekadar mendapatkan bacaan yang betul tetapi turut membentuk adab, akhlak dan hubungan rohani antara guru dengan murid.
Seorang guru bukan hanya menyemak bacaan tetapi membimbing, memberi semangat dan membentuk sikap rendah diri dalam menuntut ilmu. Unsur pendidikan jiwa ini tidak mampu digantikan oleh teknologi.
Jika masyarakat bergantung sepenuhnya kepada AI, kita berisiko mengabaikan tradisi sanad yang menjadi asas penting dalam pemeliharaan keaslian ilmu al-Quran.
Sanad melambangkan rantaian ilmu daripada seorang guru kepada guru yang lain sehingga bersambung kepada Rasulullah SAW. Teknologi boleh membantu proses pembelajaran tetapi AI tidak memiliki sanad, tidak mempunyai pengalaman rohani dan tidak mampu memberikan pengesahan ilmu seperti seorang guru yang bertauliah.
Oleh itu, AI tidak seharusnya dilihat sebagai pesaing kepada tradisi berguru, sebaliknya sebagai pelengkap yang memperkukuh pembelajaran al-Quran.
Gunakan teknologi untuk latihan harian, pembetulan asas dan meningkatkan motivasi tetapi jadikan guru sebagai rujukan utama bagi memastikan bacaan, pemahaman dan penghayatan terus berada pada landasan yang betul.
Teknologi boleh berubah mengikut zaman tetapi nilai ilmu, keberkatan dan hubungan antara guru dengan murid tetap tidak tergantikan. Menggabungkan kecanggihan AI dengan kekuatan tradisi berguru adalah pendekatan terbaik bagi memastikan kesucian dan keindahan pembelajaran al-Quran terus terpelihara.-UTUSAN
NIK MOHD. NASRUN NIK ABDULLAH
Pelajar pascasiswazah Sarjana Pengajian Islam (MIS),
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)










