Bersedia menghadapi negara menua

Bersedia menghadapi negara menua

NEGARA yang benar-benar maju diukur bukan sahaja melalui pertumbuhan ekonomi atau pembangunan fizikal tetapi juga keupayaannya memastikan setiap rakyat dapat menjalani kehidupan bermaruah pada setiap fasa usia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG 2030, Malaysia dijangka memasuki fasa negara menua apabila sekurang-kurangnya 15 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas.

Perubahan demografi ini bukan sekadar peningkatan bilangan warga emas, malah memberi kesan langsung kepada sistem kesihatan, perlindungan sosial, ekonomi, perumahan, pengangkutan dan perancangan bandar.

Oleh itu, negara perlu bersedia lebih awal agar peningkatan jangka hayat rakyat dapat diurus secara mampan dan inklusif.

Cabaran sebenar ialah memastikan pertambahan usia disertai kehidupan yang sihat, aktif, bermaruah dan terus memberi sumbangan kepada masyarakat.

Dalam konteks ini, Malaysia mempunyai peluang untuk menjadi contoh negara membangun yang berjaya mengurus penuaan mengikut acuan tempatan.

Asas kepada usaha tersebut ialah Dasar Warga Emas Negara yang menjadi panduan dalam memperkukuh kesejahteraan, perlindungan dan penyertaan warga emas dalam pembangunan negara.

Namun, dasar ini tidak boleh sekadar menjadi dokumen pentadbiran. Ia perlu diterjemahkan kepada tindakan yang jelas melalui kerjasama antara kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi pendidikan, sektor swasta dan komuniti.

Malaysia juga perlu beralih daripada pendekatan penjagaan yang terlalu bergantung kepada institusi kepada sistem penjagaan berasaskan komuniti. Pendekatan ini lebih dekat dengan budaya masyarakat Malaysia yang menitikberatkan hubungan kekeluargaan, kejiranan dan semangat gotong-royong.

Warga emas tidak seharusnya dilihat sebagai penerima bantuan semata-mata, sebaliknya sebagai individu yang masih memiliki pengalaman, kepakaran dan nilai yang boleh terus dimanfaatkan.

Pengalaman Jepun boleh dijadikan rujukan dalam membangunkan masyarakat yang mesra warga emas. Falsafah Kyosei yang menekankan kehidupan bersama secara harmoni menunjukkan warga emas mampu terus memainkan peranan aktif dalam komuniti. Begitu juga konsep Bandar Kompak yang menumpukan pembangunan bandar dengan kemudahan asas mudah diakses, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan dan meningkatkan kualiti hidup penduduk berusia.

Malaysia boleh menyesuaikan pendekatan tersebut mengikut keperluan tempatan. Perancangan bandar perlu mengutamakan pengangkutan awam yang mesra warga emas, laluan pejalan kaki yang selamat, kemudahan kesihatan yang mudah dicapai, kawasan rekreasi yang inklusif serta perumahan yang memenuhi prinsip reka bentuk sejagat.

Bandar yang berkualiti bukan sahaja memenuhi keperluan golongan muda, malah membolehkan warga emas terus bergerak, berinteraksi dan menjalani kehidupan secara berdikari.

Kajian mengenai kesejahteraan warga emas di bandar, pinggir bandar dan luar bandar penting bagi membantu kerajaan memahami keperluan sebenar mereka.

Kerjasama antara universiti, pembuat dasar, PBT dan sektor swasta perlu diperkukuh supaya setiap dasar dan program benar-benar memberi impak kepada golongan sasar.

Malaysia juga boleh meneliti amalan terbaik seperti sistem insurans penjagaan jangka panjang di Jepun. Namun, model tersebut tidak boleh diterima bulat-bulat tanpa mengambil kira keunikan budaya tempatan.

Kekuatan Malaysia terletak pada hubungan antara generasi, institusi keluarga dan jaringan komuniti yang masih utuh. Nilai ini perlu diperkasakan melalui dasar yang menyokong keluarga serta penjaga tidak formal dalam mengurus kebajikan warga emas.

Negara yang benar-benar maju diukur bukan sahaja melalui pertumbuhan ekonomi atau pembangunan fizikal tetapi juga keupayaannya memastikan setiap rakyat dapat menjalani kehidupan bermaruah pada setiap fasa usia.

Mengurus penuaan dengan acuan tempatan bukan sekadar memenuhi keperluan hari ini, malah menjadi pelaburan penting untuk kesejahteraan generasi masa depan. –UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. ROSNIZA AZNIE CHE ROSE
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN