Titah sultan pemangkin keharmonian

Titah sultan pemangkin keharmonian

HIMPUNAN ‘Daulat Tuanku’ pada 16 Mei, lalu di Shah Alam memperlihatkan sokongan rakyat terhadap institusi diraja
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU penternakan babi di Selangor kembali menarik perhatian umum, khususnya dalam kalangan umat Islam, apabila timbul polemik berhubung cadangan pelaksanaan sistem penternakan moden tertutup di negeri tersebut.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang mencemar kedaulatan institusi istana Selangor melalui paparan imej yang tidak wajar di media sosial. Tindakan tersebut menimbulkan kemarahan rakyat dan wajar diambil tindakan tegas oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kontroversi berkenaan turut memuncak apabila ada pihak mempertikaikan titah Sultan Selangor yang sebelum ini menitahkan agar aktiviti penternakan babi di negeri itu ditamatkan.

Titah tersebut berasaskan pertimbangan menyeluruh melibatkan kesejahteraan rakyat, kesihatan awam, pengurusan alam sekitar serta keharmonian sosial negeri.

Dalam konteks Malaysia sebagai negara raja berperlembagaan, institusi kesultanan memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan sosial dan politik. Raja bukan sekadar simbol adat Melayu dan pelindung agama Islam tetapi turut bertindak sebagai payung perpaduan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Justeru, apabila titah dizahirkan, semua pihak wajar memberikan penghormatan dan tidak menimbulkan tindakan yang boleh dianggap sebagai penderhakaan.

Himpunan ‘Daulat Tuanku’ pada 16 Mei, lalu di Shah Alam memperlihatkan sokongan rakyat terhadap institusi diraja dalam isu ini. Perhimpunan tersebut tidak wajar dilihat semata-mata sebagai pertembungan politik, sebaliknya sebagai luahan kebimbangan masyarakat terhadap tindakan yang dianggap mencabar sensitiviti agama dan kedudukan institusi kesultanan.

Pada masa sama, isu penternakan babi tidak wajar dilihat dari sudut ekonomi semata-mata. Walaupun menjadi sumber pendapatan kepada sesetengah pihak, namun kerajaan negeri perlu mengambil kira kesan sosial, kesihatan dan alam sekitar yang sering dibangkitkan masyarakat.

Banyak aduan mengaitkan ladang ternakan dengan pencemaran sungai, bau tidak menyenangkan serta gangguan terhadap kesejahteraan penduduk sekitar. Walaupun teknologi moden mampu mengurangkan kesan tersebut, persoalan utama ialah kesesuaiannya dengan dasar negeri serta titah Sultan.

Dalam sistem demokrasi, kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab dan adab, terutama apabila melibatkan isu sensitif agama, budaya dan institusi diraja. Pendekatan provokatif hanya akan mencetuskan ketegangan dan perlu dielakkan.

Kerajaan negeri juga perlu menjelaskan dasar secara lebih jelas dan konsisten bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat. Ketidakjelasan hanya akan memperluaskan polemik serta menjejaskan keharmonian negeri.

Sebarang penyelesaian perlu dilaksanakan secara berhemah dan tersusun dengan mengambil kira semua pihak. Jika berlaku penutupan atau pemindahan ladang, kesan kepada masyarakat setempat perlu ditangani dengan adil dan menyeluruh.

Akhirnya, institusi raja berperlembagaan kekal sebagai tunjang kestabilan negara. Sultan bukan sahaja simbol adat tetapi payung perpaduan rakyat. Justeru, titah baginda wajar dihormati sebagai asas kepada keharmonian dan kesejahteraan negeri serta negara. –UTUSAN

RMATT ZALEE
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN