Perpustakaan arkitek minda masyarakat

Perpustakaan arkitek minda masyarakat

PERPUSTAKAAN memberikan perkhidmatan dan ruang yang selesa dalam membentuk komuniti berdaya ilmu yang tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIMBULNYA isu perpustakaan tidak relevan atau hilang dari pandangan masyarakat akibat arus pembangunan teknologi adalah tidak benar, malah perpustakaan sentiasa menerokai peluang keterbukaan dalam menyediakan perkhidmatan serta kandungan ilmu yang memberi impak yang relevan kepada masyarakat.

Perpustakaan hadir menyediakan fasiliti dan struktur yang kondusif kepada penggunanya agar semua merasai mereka dihargai untuk meneroka dan menuntut ilmu, mungkin di rumah dan sebagainya mempunyai batasan untuk menuntut ilmu, seperti ruang yang terhad, atau capaian internet yang rendah maka perpustakaan menjawab segala isu tersebut memberikan perkhidmatan dan ruang yang selesa dalam membentuk komuniti berdaya ilmu yang tinggi.

Bukan itu sahaja, persekitaran yang tenang dan positif memudahkan pengguna untuk menyerap sesuatu ilmu atau maklumat.

Lantaran daripada itu, perpustakaan adalah agen penyama taraf dan jambatan jurang digital, dalam penyediaan akses teknologi digital yang saksama demi membasmi kejahilan ilmu dan kemiskinan maklumat.

Realitinya pada hari ini, dalam pasaran kerja memerlukan asas dalam literasi penggunaan digital seperti komputer, pencetak dan pangkalan data akademik, namun masih ada golongan yang kurang bernasib baik yang belum mampu untuk membeli komputer riba atau melanggan rangkaian internet yang pantas maka perpustakaan bertindak sebagai jambatan, menyediakan ruang elektronik kepada penggunanya dan akses jurnal secara percuma.

Ini memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat agar tiada persepsi tercicir dalam mengakses maklumat terkini atau golongan kurang bernasib baik diabaikan.

Di perpustakaan, kemiskinan harta tidak lagi menjadi tembok besi yang menghalang seseorang daripada mendapatkan kualiti maklumat yang tinggi namun perpustakaan sentiasa menitikberatkan tiada anak bangsa yang tertinggal dalam memacu arus permodenan disebabkan kekangan kewangan.

Perpustakaan mengadakan pelbagai aktiviti yang memberi pulangan keuntungan kepada komuniti dalam kemahiran mengamati maklumat seperti bengkel penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam keusahawanan, kelas literasi komputer untuk warga emas, hari hujung minggu cerita kanak-kanak dan kelab buku remaja.

Ini memberikan impak secara sedar kepada masyarakat bahawa perpustakaan sentiasa memberikan pendekatan maklumat dan khidmat kepada komuniti agar semua lapisan masyarakat sentiasa produktif serta menjadi aset berharga kepada masyarakat. – UTUSAN

MUHAMMAD SYAZNI AIMAN SAAD
Penolong Pustakawan,
Perpustakaan Sultan Abdul Samad
Universiti Putra Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN