Penguatkuasaan undang-undang tanah perlu diperkukuh

Penguatkuasaan undang-undang tanah perlu diperkukuh

KES penempatan haram warga Rohingya di Sungai Tekali menunjukkan penguatkuasaan undang-undang tanah dan kawalan pembangunan perlu diperkukuh bagi mengelakkan aktiviti pembangunan haram terus berleluasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINDAKAN Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) merobohkan penempatan haram didiami pelarian Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat bukan sekadar isu berkaitan penghuni di kawasan tersebut. Sebaliknya, membuka perbincangan lebih luas mengenai kepentingan pematuhan undang-undang tanah, kawalan pembangunan dan keberkesanan penguatkuasaan.

Menurut pihak berkuasa, bangunan berkenaan dibina tanpa kelulusan pelan yang sah, selain sebahagiannya didapati berada di atas tanah rizab kerajaan.

Turut dibangkitkan ialah isu penyambungan utiliti secara tidak sah, yang menunjukkan kewujudan pelbagai pelanggaran peraturan dalam pembangunan tersebut.

Lebih membimbangkan ialah struktur berskala besar itu dipercayai beroperasi selama beberapa tahun. Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang keberkesanan pemantauan terhadap pembangunan haram, khususnya apabila sesebuah kawasan penempatan melibatkan ratusan penghuni serta memerlukan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan akses jalan raya.

Kes ini juga memperlihatkan bagaimana sesetengah pihak boleh mengambil kesempatan dengan membina dan menyewakan kediaman tanpa mematuhi syarat penggunaan tanah serta piawaian keselamatan. Akibatnya, penghuni berdepan risiko kebakaran, masalah sanitasi, kerosakan struktur dan ancaman kesihatan awam.

Kewujudan penempatan yang tidak direkodkan secara rasmi turut menyukarkan pemantauan penduduk dan pengurusan kecemasan.

Dalam situasi bencana atau wabak penyakit, pihak berkuasa mungkin berdepan kesukaran mengenal pasti jumlah sebenar penghuni yang terlibat, sekali gus menjejaskan kecekapan operasi bantuan dan penyelamatan.

Pada masa sama, pengurusan isu pelarian memerlukan pendekatan yang teratur, realistik dan berasaskan pertimbangan kemanusiaan serta kepentingan negara.

Namun, aspek kemanusiaan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan pelanggaran undang-undang. Penguatkuasaan terhadap bangunan yang dibina secara haram perlu dilaksanakan secara tegas bagi memastikan sistem pentadbiran tanah, perancangan bandar dan keselamatan awam terus terpelihara.

Dalam konteks ini, tindakan terhadap pihak yang memperoleh keuntungan daripada pembangunan haram wajar diberi perhatian khusus. Pemilik tanah atau mana-mana pihak yang membangunkan serta menyewakan struktur tanpa kebenaran perlu dipertanggungjawabkan mengikut peruntukan undang-undang.

Kegagalan mengambil tindakan sewajarnya hanya akan menggalakkan lebih banyak pembangunan haram muncul pada masa hadapan. –UTUSAN

RMATT ZALEE
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN