DALAM membicarakan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), ramai pihak gagal membezakan antara persoalan bangsa dengan dasar negara. Akibatnya, sesiapa yang mempertahankan sistem pendidikan nasional sering dituduh antiCina, rasis atau tidak menghormati kepelbagaian budaya.
Sedangkan hakikatnya, mempertahankan pendidikan nasional bukanlah penolakan terhadap mana-mana kaum tetapi usaha mempertahankan satu-satunya ruang yang masih menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.
Malaysia bukan negara yang dibina atas asas satu kaum. Sebaliknya, negara ini terbentuk melalui kompromi besar antara pelbagai kaum, agama dan budaya. Justeru, negara memerlukan titik temu nasional yang dikongsi bersama dan pendidikan berteraskan kurikulum kebangsaan menjadi medium paling penting.
Sekolah bukan sekadar tempat menimba ilmu akademik tetapi ruang awal pembentukan jati diri. Di sekolah, anak-anak belajar mengenali rakan berlainan kaum, memahami perbezaan budaya, membina empati dan membentuk identiti kebangsaan. Dari ruang inilah lahir generasi yang berkongsi masa depan sebagai rakyat Malaysia.
Jika sejak kecil masyarakat dipisahkan dalam sistem pendidikan yang berbeza, maka tidak hairanlah jika pada peringkat dewasa mereka semakin sukar memahami antara satu sama lain. Oleh itu, isu UEC tidak wajar dilihat secara sempit sebagai isu akademik semata-mata tetapi sebagai dasar negara dan pembinaan bangsa.
Hari ini, ada pihak cuba menormalisasikan kemasukan pemegang UEC ke IPTA dengan alasan hanya melibatkan program tertentu seperti Bahasa Cina, Linguistik, Pengajian Cina dan Pendidikan Bahasa Cina. Mereka berhujah tidak mengganggu sistem sedia ada kerana hanya melibatkan bidang khusus.
Namun, persoalan asas tetap timbul, adakah batasan itu akan kekal? Walaupun keputusan awal kerajaan hanya membenarkan program terhad, terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan pengiktirafan bersyarat tersebut. Ini menunjukkan tuntutan tidak semestinya berhenti pada tahap awal.
Apa yang bermula sebagai permintaan kecil berpotensi berkembang menjadi tuntutan lebih luas pada masa depan. Jika hari ini melibatkan program bahasa, tidak mustahil esoknya meliputi bidang ekonomi, kejuruteraan, perubatan dan pelbagai disiplin lain atas nama kesaksamaan.
Atas sebab itu, sesetengah pihak melihat kelonggaran terhadap UEC, walaupun disertai syarat seperti kredit Bahasa Melayu dan lulus Sejarah, sebagai langkah yang perlu diteliti dengan berhati-hati. Isunya bukan sekadar syarat akademik tetapi kesan jangka panjang terhadap sistem pendidikan nasional.
Syarat tersebut juga tidak menjawab persoalan asas. Isu utama bukan sekadar pencapaian dalam dua subjek tetapi sama ada pelajar melalui pengalaman yang sama dalam pendidikan nasional, membesar dalam ruang sosial dan berkongsi proses pembinaan identiti kebangsaan.
Pendidikan nasional bukan sekadar peperiksaan tetapi proses pembinaan negara bangsa. Apabila sistem pendidikan terlalu terpisah, hubungan antara kaum akhirnya menjadi semakin jauh dan terbatas kepada urusan ekonomi serta pekerjaan sahaja, sedangkan aspek kebersamaan semakin pudar.
Isu ini turut dipolitikkan oleh sesetengah pihak demi keuntungan jangka pendek. Mereka menggambarkan pengiktirafan UEC sebagai simbol keterbukaan, sedangkan ia boleh memberi implikasi besar terhadap asas pendidikan nasional jika tidak ditangani dengan berhati-hati.
Perlu ditegaskan bahawa ini bukan soal penolakan terhadap mana-mana kaum. Masyarakat Cina merupakan sebahagian penting daripada sejarah dan masa depan Malaysia. Ramai juga yang berjaya dalam sistem pendidikan kebangsaan dan membuktikan bahawa integrasi nasional mampu dicapai tanpa menjejaskan kecemerlangan.
Malah, mereka yang memilih sekolah kebangsaan menunjukkan titik pertemuan bersama masih boleh dibina melalui sistem pendidikan yang sama. Mereka melihat pendidikan nasional sebagai ruang untuk membentuk perpaduan, bukan ancaman kepada identiti budaya.
Oleh itu, penekanan kepada syarat kemasukan IPTA berasaskan sistem nasional seperti SPM bukanlah pendekatan ekstrem, tetapi usaha mempertahankan asas kontrak sosial pendidikan negara.
Negara-negara maju turut meletakkan sistem pendidikan nasional sebagai teras pembinaan identiti bangsa. Mereka memahami pemisahan sistem pendidikan akan membawa kepada polarisasi sosial yang semakin melebar dalam jangka panjang.
Malaysia tidak boleh bergerak ke arah masyarakat yang hidup dalam kelompok masing-masing. Negara memerlukan lebih banyak integrasi, bukan pemisahan. Bahasa ibunda dan budaya boleh terus dipelihara, namun asas pendidikan negara mesti kekal berpaksikan sistem nasional yang sama.
Negara ini tidak akan runtuh kerana perbezaan kaum tetapi goyah apabila rakyatnya tidak lagi berkongsi rasa kebersamaan sebagai satu bangsa Malaysia. –UTUSAN
DR. HAIM HILMAN ABDULLAH
Exco Pengajian Tinggi Kedah










