Ekonomi tidak menentu ancam kesihatan mental

Ekonomi tidak menentu ancam kesihatan mental

TEKANAN ekonomi yang berterusan boleh mencetuskan keresahan, kemurungan dan keletihan emosi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SECARA umumnya, masalah ekonomi seperti inflasi, kemelesetan dan kenaikan kos sara hidup memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat. 

Keadaan ini merosotkan kuasa beli, meningkatkan kadar pengangguran serta mencetuskan pelbagai masalah sosial. Tekanan ini akhirnya menjejaskan kualiti hidup dan kesejahteraan emosi rakyat akibat beban kewangan yang semakin berat.

Dalam konteks ini, laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) mengenai kesan konflik Amerika Syarikat (AS)–Israel terhadap Iran wajar diberi perhatian serius. Laporan itu menjangkakan lonjakan harga tenaga dan baja akan menjejaskan lebih 30 juta penduduk di 160 negara. 

Walaupun konflik ini berlaku jauh dari Malaysia, kesannya sudah mula dirasai melalui peningkatan kos hidup dan tekanan ekonomi isi rumah.

Keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan mental rakyat. Kenaikan harga barang keperluan, ketidaktentuan pekerjaan dan beban kewangan berpanjangan boleh mencetuskan tekanan emosi yang serius. 

Golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) paling terkesan kerana mereka bukan sahaja perlu memenuhi keperluan harian yang semakin mahal, malah turut berdepan kebimbangan masa hadapan keluarga.

Tekanan ekonomi yang berterusan boleh mencetuskan keresahan, kemurungan dan keletihan emosi. Dalam kes lebih serius, boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan, meningkatkan konflik rumah tangga dan menyumbang kepada masalah sosial lain. Justeru, masyarakat perlu bertanya sejauh mana kita bersedia melindungi kesihatan mental dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini.

Bagi menghadapi cabaran ini, individu perlu memperkukuh pengurusan kewangan. Setiap isi rumah perlu menyusun semula keutamaan perbelanjaan dengan memberi fokus kepada keperluan berbanding kehendak, selain mengelakkan hutang tidak perlu. Perancangan kewangan yang baik mampu mengurangkan tekanan emosi dan meningkatkan rasa kawalan terhadap kehidupan harian.

Selain itu, masyarakat perlu bijak menapis maklumat. Krisis geopolitik semasa menghasilkan lambakan berita yang boleh mencetuskan kebimbangan. Oleh itu, individu perlu mengelakkan spekulasi dan propaganda yang tidak sahih agar tidak terperangkap dalam keresahan yang tidak perlu.

Gaya hidup seimbang turut membantu mengurangkan tekanan. Aktiviti fizikal, rehat mencukupi dan sokongan sosial memainkan peranan penting dalam menstabilkan emosi. Ahli keluarga perlu memperkukuh komunikasi dan saling memberi sokongan agar setiap individu berasa tidak keseorangan dalam menghadapi tekanan ekonomi.

Pada masa sama, individu yang mengalami tekanan emosi wajar mendapatkan bantuan profesional. Mendapatkan khidmat kaunselor atau pakar psikologi bukan tanda kelemahan, sebaliknya langkah bijak untuk menjaga kesihatan mental.

Komuniti juga memainkan peranan penting. Sokongan daripada jiran, rakan dan masyarakat setempat mampu mengurangkan beban emosi individu yang terkesan. Program komuniti seperti sokongan emosi, aktiviti kemasyarakatan dan jaringan bantuan dapat membantu mereka yang berdepan tekanan agar tidak terpinggir.

Dalam konteks yang lebih luas, kerajaan perlu terus memperkukuh akses kepada perkhidmatan kesihatan mental. Kemudahan kaunseling dan sokongan psikologi perlu diperluas, khususnya di kawasan luar bandar. Kempen kesedaran juga perlu dipergiat bagi menghapuskan stigma terhadap isu kesihatan mental agar lebih ramai tampil mendapatkan bantuan.

Ketidaktentuan ekonomi global tidak dapat dielakkan, namun kesannya boleh diurus melalui kesiapsiagaan semua pihak. Amaran UNDP harus menjadi isyarat awal bahawa kesihatan mental perlu diberi keutamaan. 

Rakyat, komuniti dan kerajaan perlu bergerak seiring dalam memperkukuh daya tahan emosi sebagai benteng menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan. –UTUSAN

 

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)

Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK)

Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN