Budaya ‘bayar nanti’ membebankan belia

Budaya ‘bayar nanti’ membebankan belia

MASYARAKAT perlu lebih bijak membuat keputusan kewangan dengan berpandukan prinsip Islam yang menekankan keadilan, kesederhanaan dan keberkatan dalam setiap urusan harta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANDSKAP kewangan pengguna berubah dengan sangat pantas dalam era digitalisasi ekonomi. 

Jika dahulu konsep beli sekarang, bayar kemudian (BNPL) hanya dikaitkan dengan kad kredit atau skim sewa beli, kini berubah sehingga menjadi antara inovasi kewangan digital yang semakin popular dalam masyarakat. 

Melalui beberapa klik sahaja, pengguna boleh mendapatkan barangan atau perkhidmatan tanpa perlu membuat pembayaran penuh secara segera. Kemudahan ini amat menarik, khususnya kepada golongan muda yang ingin memenuhi keperluan dan gaya hidup moden. 

Menurut Kementerian Kewangan Malaysia, skim BNPL merekodkan ratusan juta transaksi bernilai berbilion ringgit sepanjang 2025. Sebahagian besar pengguna pula terdiri daripada golongan belia dan kumpulan B40. Walaupun risiko keberhutangan masih dianggap terkawal, namun peningkatan penggunaan BNPL secara mendadak menimbulkan kebimbangan terhadap tahap literasi kewangan masyarakat.

Dari sudut ekonomi, BNPL sememangnya memberi manfaat tertentu. Pengguna dapat membeli keperluan seperti telefon bimbit, komputer riba atau kelengkapan pembelajaran tanpa perlu menyediakan wang tunai yang besar. Peniaga pula memperoleh keuntungan melalui peningkatan jualan dan akses pelanggan yang lebih luas.

Namun dalam Islam tidak menolak konsep pembelian secara ansuran kerana selari dengan kontrak jual beli seperti murabahah dan bay’ bithaman ajil. Namun, syariah menolak unsur riba, gharar dan ketidakadilan dalam urusan kewangan.

Dalam konteks BNPL, isu utama timbul apabila sesetengah platform mengenakan caj lewat bayar atau syarat yang kurang difahami pengguna. Walaupun caj tersebut kelihatan kecil tetapi boleh menjadi beban apabila pengguna mempunyai banyak komitmen serentak.

Selain itu, penggunaan BNPL juga mempengaruhi tingkah laku kewangan masyarakat. Ramai pengguna terdorong membeli barangan bukan keperluan kerana merasakan bayaran ansuran kecil tidak membebankan. Hakikatnya, keadaan ini mewujudkan ‘ilusi kemampuan’ sehingga pengguna berbelanja melebihi kemampuan sebenar. Islam mengingatkan umatnya supaya mengamalkan kesederhanaan dan mengelakkan pembaziran dalam kehidupan.

BNPL bukanlah sesuatu yang sepenuhnya baik atau buruk. Kemudahan ini boleh membantu pengguna jika digunakan secara berhemah dan berdisiplin. Namun, tanpa ilmu kewangan dan kawalan diri, BNPL berpotensi menjadi perangkap hutang yang menjejaskan kestabilan kewangan individu. Oleh itu, masyarakat perlu lebih bijak membuat keputusan kewangan dengan berpandukan prinsip Islam yang menekankan keadilan, kesederhanaan dan keberkatan dalam setiap urusan harta. –UTUSAN

NURUL NABIHAH LOKMAN & DR. JAHARUDIN PADLI

Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN