KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) telah menganjurkan Program Jaguh Keusahawanan Nasional (JAGUH) Siri 6/2026 selama dua hari di UiTM Cawangan Sabah.
Program ini disertai seramai 189 mahasiswa daripada tujuh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sekitar negeri Sabah.
Program Jaguh Keusahawanan Nasional (JAGUH) 2026 merupakan siri keenam daripada 12 siri yang dijadualkan dilaksanakan di seluruh negara pada tahun ini.
Program ini bertujuan memperkukuh pembangunan bakat keusahawanan nasional menerusi pendekatan discipline-based entrepreneurship yang menekankan penghasilan idea dan inovasi berasaskan kemahiran akademik serta pengembangan bakat peserta.
Pelaksanaan program ini memberi fokus kepada tiga sektor utama iaitu sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), ekonomi jingga dan ekonomi biru.
JAGUH 2026 menyasarkan penyertaan seramai 3,000 mahasiswa dan graduan yang memanfaatkan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penyelidikan pantas serta pembangunan prototaip.
Sehingga kini, program ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 1,002 mahasiswa dan graduan menerusi lima siri pelaksanaan yang melibatkan 57 IPT di seluruh negara.
Program ini turut mengetengahkan pelbagai projek dan idea inovatif berpotensi tinggi untuk diperkembangkan ke peringkat pembangunan dan pengkomersialan.
Pelaksanaan program ini juga dilaksanakan menerusi dua fasa utama bagi memastikan pembangunan peserta dapat dijalankan secara lebih tersusun, terarah dan berimpak tinggi.
Daripada keseluruhan peserta, hanya 120 peserta terbaik akan dipilih untuk melangkah ke fasa kedua bagi mengikuti program pembangunan serta bimbingan lanjutan secara lebih intensif.
Peserta turut berpeluang dinobatkan sebagai juara Program JAGUH dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.
KUSKOP juga memperkukuh ekosistem pembangunan keusahawanan negara menerusi pelbagai inisiatif strategik serta kemudahan pembiayaan yang disediakan khusus untuk mahasiswa dan graduan melalui agensi-agensi di bawah kementerian.
Antara inisiatif yang ditawarkan termasuk Projek Be Your Own Boss menerusi Young Entrepreneurship Engagement Talent Programme (YOUNITY) oleh Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Skim Pembiayaan Ikhtiar – Produk i-Muda (SPI-iMuda) oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Graduate Mentoring Programme (GMP) dan Bank Rakyat UNIpreneur 6.0 oleh Bank Rakyat, Program Pemerkasaan Koperasi Belia (JATI) oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Program Insentif Usahawan UDA (PIUU): UDA4Youth oleh UDA Holdings Berhad, serta Skim Pembiayaan TVET Tunas dan TVET Mekar oleh TEKUN Nasional.
KUSKOP menyeru mahasiswa dan graduan agar memanfaatkan setiap peluang yang tersedia untuk menimba ilmu, memperkukuh jaringan serta meneroka potensi diri dalam bidang keusahawanan.
Dalam mendepani cabaran landskap ekonomi semasa yang semakin dinamik, mahasiswa dan graduan perlu tampil sebagai individu yang proaktif, berdaya tahan serta berfikiran terbuka bagi mencipta peluang dan nilai baharu dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan negara. – UTUSAN
KEMENTERIAN PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN KOPERASI










