SHAH ALAM: Kerajaan menyediakan pembiayaan penuh bagi graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mahu melanjutkan pengajian dalam bidang keusahawanan ke peringkat lebih tinggi.
Pembiayaan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu ditawarkan bagi mereka yang menyambung pengajian di Management and Science University (MSU).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, objektif inisiatif itu bertujuan memberi pelbagai peluang kepada graduan TVET sekali gus melahirkan lebih ramai teknousahawan di negara ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara itu, beliau yakin tidak semua graduan berkenaan akan memasuki pasaran kerja dan ada daripadanya mahu menjadi usahawan.
“Saya berbincang dengan MSU mengenai satu modul khas bagi mereka yang mempunyai Diploma atau Ijazah menceburi bidang keusahawanan.
“Mungkin Diploma Eksekutif boleh diberikan kepada mereka selepas pemindahan kredit dan pengambilan beberapa subjek pelajaran yang akan ditentukan nanti,” katanya selepas melancarkan TVET MSU, hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) antara universiti berkenaan dan 58 rakan industri.
Ahmad Zahid memberitahu, inisiatif itu akan dikoordinasikan oleh Majlis TVET Negara kerana pembiayaannya diuruskan KUSKOP.
“Segala perincian mengenainya akan saya bincangkan dalam tempoh satu atau dua minggu ini. Ini bagi menentukan bahawa mereka yang tamat pengajian di institusi-institusi TVET akan kita selaraskan secara lebih lanjut,” ujarnya.
Katanya lagi, kerajaan mahu memastikan semua institusi TVET termasuk MSU mencapai kadar kebolehpasaran graduan 100 peratus menjelang 2028.
“Purata kebolehpasaran nasional ketika ini ialah 95.1 peratus dan MSU sudah melebihi purata itu. Namun, saya mahu mereka mencapai 100 peratus dan satu anugerah khas akan diberikan jika sasaran itu tercapai,” jelasnya.
Tambah Ahmad Zahid, langkah itu selaras pendekatan baharu konsep teaching factory iaitu hanya 30 peratus masa pembelajaran di dalam kuliah manakala 70 peratus lagi di lapangan industri.
“Pendekatan itu turut membuka ruang kepada syarikat domestik dan pelabur asing untuk menilai serta menawarkan pekerjaan lebih awal kepada pelajar TVET.
“Sebagai contoh di UniKL (Universiti Kuala Lumpur), pelajar bidang aeroangkasa yang belum tamat pengajian sudah ditawarkan kerja oleh syarikat MRO (penyelenggaraan, baik pulih dan pemeriksaan) seperti Airbus dan Boeing,” katanya. – UTUSAN










