BAGI melahirkan graduan holistik dan berdaya saing, sebuah inkubator usahawan yang dipanggil The Port telah dibina di UiTM Cawangan Johor, Segamat. The Port merupakan sebuah inkubator keusahawanan yang memberi ruang kepada pelajar menjalankan perniagaan sebenar di dalam kampus.
The Port bukan sekadar ruang niaga malah ia merupakan sebahagian daripada pendekatan inovatif pembelajaran berasaskan amalan (experiential learning) yang diterapkan melalui modul pembelajaran keusahawanan holistik dan unik yang dikenali sebagai ACE (Accelerated Entrepreneurship Program).
Modul ini dibangunkan hasil dari gabungan silibus dan pengalaman pengajaran subjek-subjek utama seperti Asas Keusahawanan dan Asas Pengurusan.
The Port merupakan tempat di mana teori bertemu realiti, di mana pelajar tidak lagi hanya belajar tentang perniagaan di dalam kelas namun mereka sendiri menjadi pengusaha yang menguruskan operasi harian, pemasaran, kewangan dan perhubungan pelanggan secara langsung.
Manakala modul ACE direka untuk memberi pelajar peluang membina perniagaan sebenar berasaskan konsep belajar dan mengaplikasikan, selari dengan aspirasi UiTM untuk memperkasakan keusahawanan sebagai salah satu teras pendidikan tinggi. Melalui modul ini, pelajar diberi panduan secara sistematik bermula dari peringkat idea, pelan perniagaan, pelaksanaan, sehingga penilaian prestasi.
Kini setelah hampir tiga tahun The Port beroperasi, lebih 15 kumpulan pelajar telah menjalankan perniagaan di The Port dari makanan, minuman dan perkhidmatan kreatif. Selain menjadi platform latihan, The Port juga terbukti menjana pendapatan kepada pelajar dan menyumbang kepada ekosistem keusahawanan kampus yang semakin rancak.
UiTM Cawangan Johor berharap kejayaan The Port dan modul ACE boleh dijadikan contoh dalam usaha memperkasakan mahasiswa sebagai pemacu ekonomi negara masa depan. Sekalung penghargaan kepada Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM Shah Alam atas dana yang telah diberikan untuk pembinaan The Port. – UTUSAN
UiTM CAWANGAN JOHOR










