GEOGRAFI masih kekal sebagai mata pelajaran elektif di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Keadaan ini menimbulkan persoalan wajarkah sebuah negara maritim, keunikan wilayah dan kaya dengan sumber seperti Malaysia membiarkan literasi geografi terus berada di pinggir kurikulum?
Geografi bukan sekadar ilmu tentang peta, sungai, gunung atau cuaca. Dalam pendidikan moden, Geografi membantu murid memahami hubungan manusia dengan alam sekitar, mengenal tanah air, menilai pembangunan, memahami bencana, mentafsir perubahan iklim dan melihat kedudukan negara dalam peta geopolitik dunia.
Disiplin ilmu ini membina kecerdasan ruang, iaitu keupayaan memahami lokasi, sempadan, sumber, petempatan, laluan perdagangan, risiko bencana dan hubungan antara manusia dengan tempat.
Geografi membantu murid memahami dimensi ruang, iaitu di mana sesuatu peristiwa berlaku, mengapa ia berlaku di tempat tersebut dan bagaimana keadaan fizikal serta manusia mempengaruhi perjalanan sejarah.
Tanpa Geografi, mata pelajaran Sejarah berisiko menjadi hafalan peristiwa semata-mata. Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, misalnya, tidak dapat difahami sepenuhnya tanpa melihat kedudukan strategik Selat Melaka, laluan perdagangan maritim, angin monsun dan jaringan pelabuhan antarabangsa.
Begitu juga kolonialisme, pembentukan sempadan, migrasi, pembangunan bandar dan konflik geopolitik moden, semuanya memerlukan kefahaman tentang ruang, wilayah, sumber dan kedudukan strategik.
Di beberapa negara maju, Geografi diberi tempat terpenting dalam kurikulum menengah atas. Jepun mewajibkan Geography General atau Chiri Sogo, Perancis mengekalkan Histoire-Geographie sebagai komponen utama pendidikan menengah, Finland meletakkan Geografi dalam laluan menengah atas umum, manakala Switzerland mengekalkan Geografi sebagai salah satu mata pelajaran asas dalam laluan akademik. Keadaan ini membuktikan pendidikan Geografi terus dilihat sebagai ilmu penting untuk membina literasi ruang, kesedaran alam sekitar, pemikiran global dan kefahaman kewarganegaraan yang tulen.
Malaysia juga kini berdepan cabaran yang semakin bersifat geografi. Perubahan iklim, banjir besar, tanah runtuh, keterjaminan makanan, pembangunan bandar, migrasi penduduk, perebutan sumber, keselamatan sempadan dan geopolitik dunia dan Laut China Selatan semuanya menuntut kefahaman geografi.
Tanpa literasi geografi, generasi muda mungkin mengetahui sejarah negara, tetapi berisiko kurang memahami realiti ruang yang membentuk masa depan negara.
Maka, Geografi juga wajar diberi kedudukan setara kukuh kerana negara bukan hanya terbina daripada peristiwa sejarah, tetapi juga daripada tanah, wilayah, sempadan, sumber dan persekitaran yang perlu difahami serta dipertahankan.
Justeru, sudah tiba masanya kedudukan Geografi di peringkat menengah atas dinilai semula lebih secara serius, khususnya dalam pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027.
Geografi wajar dipertimbangkan sebagai mata pelajaran teras atau sekurang-kurangnya sebagai komponen penting yang dipelajari oleh semua murid.
Kandungannya juga perlu diperkasa dengan elemen moden seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS), peta digital, perubahan iklim, pengurusan bencana, geopolitik, kelestarian alam sekitar, keselamatan makanan dan pengurusan sumber negara.
Malaysia memerlukan generasi muda yang bukan sahaja mengetahui sejarah bangsanya, tetapi juga memahami ruang hidupnya.
Jika negara mahu melahirkan warganegara dan pemimpin masa depan yang celik negara, celik dunia dan celik masa depan, Geografi tidak wajar terus berada di pinggir kurikulum menengah atas.
Sebaliknya, Geografi perlu diperkasa sebagai ilmu strategik untuk memahami bumi, negara dan cabaran masa hadapan. – UTUSAN
DR. MOHAMMAD AZRI AMATAN
Jabatan Geografi dan Alam Sekitar
Fakulti Sains Kemanusiaan
Universiti Pendidikan Sultan Idris








