Apa masa depan pendidikan Geografi?

Apa masa depan pendidikan Geografi?

GEOGRAFI perlu diberi penjenamaan semula dan pengiktirafan yang lebih jelas sebagai mata pelajaran yang menyokong STEM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDIDIKAN Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM terus menjadi agenda penting dalam sistem pendidikan negara.

Melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dan usaha penggubalan Kurikulum Persekolahan 2027, Kementerian Pendidikan jelas berhasrat melahirkan generasi yang celik sains, kreatif, berfikiran kritis serta mampu menyelesaikan masalah dunia sebenar.

Namun begitu, dalam kerancakan memperkukuh pendidikan STEM, terdapat satu isu penting yang semakin membimbangkan, iaitu kedudukan mata pelajaran Geografi yang semakin terpinggir, khususnya apabila kedudukan Geografi tidak dimasukkan secara jelas dalam pemilihan Pakej STEM dan semakin banyak sekolah mula menggugurkan atau tidak menawarkan Geografi sebagai mata pelajaran elektif di peringkat menengah atas.

Dari segi kandungan ilmu, Geografi mempunyai unsur STEM yang sangat kuat. Geografi mengkaji fenomena alam seperti banjir, hakisan, perubahan iklim, taburan penduduk, guna tanah, sumber air, bencana alam dan pembangunan lestari melalui pendekatan saintifik, pemerhatian lapangan, analisis data dan penyelesaian masalah.

Dari aspek teknologi pula, Geografi sangat berkait rapat dengan penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS), penderiaan jauh, imej satelit dron dan pemetaan digital.

Malah, unsur matematik turut wujud melalui pengiraan skala, jarak, kepadatan penduduk, kadar pertumbuhan, data cuaca, graf iklim dan analisis statistik asas.

Oleh itu, Kurikulum Persekolahan 2027 perlu menjadi peluang pembetulan terhadap kedudukan Geografi dalam sistem pendidikan negara. Geografi perlu diberi penjenamaan semula dan pengiktirafan yang lebih jelas sebagai mata pelajaran yang menyokong STEM, kelestarian dan teknologi spatial.

Dalam konteks ini, mata pelajaran Geografi boleh diperkukuh melalui beberapa pendekatan. Pertama, Geografi wajar dikaitkan secara rasmi dengan elemen STEM dalam dokumen kurikulum, khususnya melalui tema seperti perubahan iklim, pengurusan bencana, teknologi geospatial, pemetaan digital dan pembangunan lestari.

Kedua, penawaran Geografi di peringkat menengah atas perlu dipertahankan agar tidak terus digugurkan oleh sekolah.

Ketiga, guru Geografi perlu diberikan latihan profesional berkaitan penggunaan GIS asas, data spatial, kajian lapangan, pembelajaran berasaskan projek dan analisis isu setempat.

Keempat, pentaksiran Geografi perlu bergerak daripada hafalan fakta kepada tugasan autentik seperti kajian banjir tempatan, pemetaan risiko, audit alam sekitar sekolah, kajian suhu bandar atau cadangan pelan kelestarian komuniti.

KPM melalui Bahagian Pembangunan Kurikulum wajar mempertimbangkan penjenamaan baharu seperti Geografi dan Kelestarian, Geografi Alam Sekitar dan Teknologi Spatial, atau Geografi STEM dan Pengurusan Bencana.

Penjenamaan ini bukan bertujuan menukar identiti asal Geografi, tetapi untuk menonjolkan kekuatan sebenar Geografi sebagai disiplin yang menggabungkan sains, teknologi, data, ruang, manusia dan alam sekitar.

Dengan cara ini, Geografi tidak lagi dilihat sebagai subjek hafalan atau pilihan terakhir, sebaliknya sebagai mata pelajaran strategik yang relevan dengan kerjaya masa depan.

Maka, sudah tiba masanya kedudukan Geografi dinilai semula. Geografi bukan sekadar mata pelajaran tentang peta, sungai, gunung dan bentuk muka bumi.

Geografi ialah ilmu masa depan yang membantu murid memahami dunia, membaca perubahan, menggunakan data, menyelesaikan masalah dan membina kesedaran terhadap kelestarian bumi.

Kurikulum Persekolahan 2027 seharusnya menjadi titik mula untuk mengangkat semula Geografi sebagai mata pelajaran penting dalam pendidikan negara, bukan sebagai subjek pinggiran, tetapi sebagai jambatan utama antara STEM, kemanusiaan dan kelestarian. – UTUSAN

DR. MOHAMMAD AZRI AMATAN
Jabatan Geografi dan Alam Sekitar
Fakulti Sains Kemanusiaan
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN