Amalan demokrasi negara selari kehendak ajaran Islam

Amalan demokrasi negara selari kehendak ajaran Islam

PENDEKATAN yang sederhana, inklusif dan berpaksikan Perlembagaan adalah kunci untuk memastikan keharmonian serta kemajuan negara terus terpelihara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sejak mencapai kemerdekaan.

Dalam kerangka ini, rakyat diberi hak memilih kerajaan melalui pilihan raya, manakala institusi raja-raja Melayu berperanan sebagai payung kepada Perlembagaan dan identiti negara.

Namun, persoalan yang sering dibahaskan ialah sama ada sistem demokrasi yang diamalkan selaras dengan konsep negara Islam, serta sejauh mana Malaysia boleh dianggap sebagai sebuah negara Islam.

Secara umumnya, demokrasi memberi ruang kepada rakyat menentukan kepimpinan negara melalui proses pilihan raya.

Dalam sistem ini, pelbagai parti politik dibenarkan bertanding untuk mendapatkan mandat rakyat dan membentuk kerajaan. Ada pihak yang berpendapat kewujudan banyak parti politik boleh membawa kepada perpecahan, khususnya dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam.

Namun, demokrasi juga menyediakan ruang untuk rakyat menyuarakan pandangan serta memilih pemimpin secara aman dan terbuka.

Hakikatnya, kekuatan politik Melayu-Islam tidak bergantung semata-mata kepada sistem yang digunakan tetapi lebih kepada kebijaksanaan pemimpin dan parti politik dalam mencari titik persamaan serta membina kerjasama demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menghakis semangat muafakat yang menjadi asas kestabilan negara.

Dalam konteks Malaysia, perbahasan mengenai status negara Islam atau sekular telah berlangsung sejak sekian lama. Perdebatan ini sering dipengaruhi oleh tafsiran politik yang berbeza. Namun, penilaian terhadap sesebuah negara Islam tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pelaksanaan hukum tertentu semata-mata, sebaliknya perlu melihat kepada prinsip asas yang menjadi teras pemerintahan.

Islam menekankan beberapa prinsip utama dalam pentadbiran negara, antaranya syura, keadilan, kebebasan dan persamaan.

Prinsip syura menuntut proses perundingan dan musyawarah dalam membuat keputusan. Keadilan pula menekankan layanan yang saksama kepada semua rakyat tanpa mengira agama atau latar belakang.

Pada masa sama, Islam mengiktiraf kebebasan yang bertanggungjawab, termasuk kebebasan beragama, bersuara dan memiliki harta. Prinsip persamaan pula menegaskan bahawa setiap rakyat mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama di sisi undang-undang.

Jika diteliti, banyak daripada prinsip tersebut diterapkan dalam sistem pentadbiran Malaysia. Perlembagaan Persekutuan menjamin pelbagai hak dan kebebasan kepada rakyat, di samping meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Dalam masa sama, penganut agama lain bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing dalam suasana aman dan harmoni.

Selain itu, pelbagai institusi dan dasar berkaitan Islam berkembang dalam negara, termasuk sistem kewangan Islam, pendidikan Islam, pentadbiran syariah dan pensijilan halal.

Perkembangan ini menunjukkan bahawa Islam bukan sekadar simbol dalam struktur negara tetapi turut memainkan peranan penting dalam pembentukan dasar dan kehidupan masyarakat.

Walaupun Malaysia masih mengamalkan sistem perundangan yang mempunyai unsur warisan sejarah, namun kedudukan Islam dalam Perlembagaan serta pelaksanaan pelbagai institusi berteraskan syariah menunjukkan agama terus mempunyai tempat signifikan dalam pentadbiran negara.

Oleh itu, perbahasan mengenai demokrasi dan negara Islam wajar dilihat secara matang dan objektif.

Yang lebih penting bukanlah label yang diberikan kepada negara tetapi sejauh mana prinsip keadilan, kestabilan, kebebasan dan kesejahteraan dapat dilaksanakan untuk manfaat seluruh rakyat.

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, pendekatan yang sederhana, inklusif dan berpaksikan Perlembagaan adalah kunci untuk memastikan keharmonian serta kemajuan negara terus terpelihara. –UTUSAN

MOHD. AYOP ABD. RAZID
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN