Wajarkah had umur di media sosial?

Wajarkah had umur di media sosial?

PELAKSANAAN peraturan had umur minimum 16 tahun bagi pemilikan akaun media sosial bergantung kepada tahap kesediaan pelbagai pihak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CADANGAN menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi pemilikan akaun media sosial, dengan penguatkuasaan pelaksanaan yang dijangka seawal Jun ini semakin mendapat perhatian pelbagai pihak.

Pemerhatian semasa menunjukkan masih ramai remaja bawah umur aktif di platform digital tanpa kawalan yang jelas.

Langkah ini sudah pasti dilihat sebagai satu bentuk intervensi dasar yang proaktif dalam usaha melindungi golongan remaja daripada risiko dalam talian, antaranya seperti pendedahan kepada kandungan tidak sesuai, buli siber, dan tingkah laku berisiko seperti perkongsian maklumat peribadi secara berlebihan.

Persoalannya, adakah pengguna, keluarga dan sistem bersedia untuk menyokong keberkesanan dasar ini? Realitinya, pelaksanaan peraturan sebegini bergantung kepada tahap kesediaan pelbagai pihak, termasuk pengguna sendiri, institusi keluarga serta ekosistem digital secara keseluruhan.

Literasi Media Sosial
Literasi media sosial merujuk kepada keupayaan untuk memahami kandungan digital, menilai kesahihan maklumat, serta membuat keputusan yang bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial.

Dalam era di mana kandungan boleh dihasilkan dan disebarkan dengan mudah, keupayaan ini menjadi benteng utama dalam melindungi pengguna daripada pelbagai risiko.

Dalam situasi ini, kebergantungan kepada peraturan semata-mata tanpa memperkukuh literasi media sosial boleh menyebabkan mereka mencari jalan alternatif, sebagai contoh penggunaan akaun palsu bagi mengakses platform tertentu.

Justeru, dalam konteks ini, sekatan umur mungkin mampu mengehadkan akses secara formal, namun tidak menjamin kefahaman terhadap risiko yang wujud dalam persekitaran digital.

Kesediaan Ibu Bapa
Kesediaan ibu bapa tidak boleh dilihat hanya dari sudut kemampuan mengawal, tetapi perlu diperluas kepada keupayaan membimbing. Ini termasuk membina kepercayaan, mewujudkan komunikasi dua hala serta memberi pendedahan tentang penggunaan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab.

Langkah Penguatkuasaan
Pendekatan yang diambil oleh Malaysia iaitu memanfaatkan perundangan khusus mengenai MyKad sebagai elemen keselamatan tambahan untuk pengesahan identiti dan umur pengguna dilihat sebagai satu mekanisme terbaik untuk mengelak isu berkaitan.

Institusi pendidikan juga memainkan peranan penting dalam membentuk keupayaan menggunakan media sosial secara berhemah sejak peringkat awal.

Pendedahan kepada kemahiran pemikiran kritis dan kesedaran etika digital perlu diperkukuh dalam kurikulum. Ibu bapa turut perlu diberi sokongan untuk meningkatkan kefahaman mereka terhadap dunia digital agar dapat membimbing anak-anak dengan lebih berkesan.

Pelaksanaan Kempen Internet Selamat 2026 oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia yang menyasarkan golongan ibu bapa dan penjaga tentang kesedaran risiko digital dan pemantauan efektif penggunaan internet dalam kalangan kanak-kanak dilihat sebagai satu cara pemerkasaan kefahaman dan kemahiran diri dalam dunia digital sekali gus menyokong penguatkuasaan peraturan pemilikan media sosial.

Penguatkuasaan had umur 16 tahun bagi pemilikan akaun media sosial merupakan langkah yang signifikan dalam usaha melindungi remaja. Namun, kejayaan dasar ini tidak hanya bergantung kepada peraturan semata-mata, tetapi juga kepada tahap kesediaan masyarakat secara keseluruhan.

Menjelang pelaksanaannya, tumpuan perlu diberikan kepada usaha memperkukuh literasi media sosial, meningkatkan kesedaran tingkah laku pengguna serta memperkasakan peranan keluarga dan sistem.

Tanpa kesiapsiagaan ini, peraturan yang baik sekalipun berisiko tidak mencapai matlamat yang diharapkan. – UTUSAN

DR. SITI NASARAH ISMAIL
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN