Ibu bapa juga perlu aktif di alam siber

Ibu bapa juga perlu aktif di alam siber

IBU bapa disaran beralih daripada pendekatan kawalan semata-mata kepada pendekatan berasaskan komunikasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMUDAHAN kawalan keselamatan seperti safe mode dan fungsi kawalan ibu bapa bukan lagi jaminan mutlak dalam melindungi kanak-kanak di alam siber.

Sebaliknya, pendekatan komunikasi terbuka dan pemahaman antara ibu bapa dan anak dilihat lebih berkesan dalam menangani risiko digital yang semakin kompleks.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Kempen Internet Selamat menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak dalam talian tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada sistem automatik, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif ibu bapa sebagai barisan hadapan.

Walaupun fungsi seperti safe mode mampu menapis kandungan tertentu, ia tidak berupaya memahami konteks sebenar yang dihadapi kanak-kanak, termasuk tekanan emosi, pengaruh rakan sebaya dan manipulasi dalam talian.

Sehubungan itu, ibu bapa disaran beralih daripada pendekatan kawalan semata-mata kepada pendekatan berasaskan komunikasi.

Ini termasuk mengetahui aplikasi yang digunakan anak-anak, memahami jenis kandungan yang mereka akses serta membina kepercayaan agar anak-anak berani berkongsi pengalaman tanpa rasa takut.

Dalam masa sama, tahap kesedaran keselamatan digital dalam kalangan masyarakat masih berada pada tahap sederhana, dengan jurang ketara antara generasi. Keadaan ini menuntut peningkatan literasi digital dalam kalangan ibu bapa sendiri agar mereka lebih bersedia membimbing anak-anak.

Ancaman dalam talian juga kini semakin pelbagai, merangkumi penipuan digital, buli siber dan penyebaran maklumat palsu. Tanpa bimbingan yang betul, kanak-kanak berisiko membentuk persepsi yang salah terhadap realiti digital dan membuat keputusan yang boleh memudaratkan.

Sekolah serta institusi pendidikan turut digesa memperkukuh modul literasi digital yang memberi penekanan kepada aspek keselamatan, etika dan tanggungjawab penggunaan teknologi.

Walaupun fungsi seperti safe mode kekal relevan sebagai alat sokongan, perlindungan sebenar bermula di rumah melalui pemantauan berterusan dan hubungan yang kukuh antara ibu bapa dan anak-anak.

Dalam era digital yang semakin mencabar, kehadiran dan keprihatinan ibu bapa kekal sebagai benteng utama dalam memastikan kesejahteraan generasi muda. – UTUSAN

DR. SYAFILA KAMARUDIN
Ketua Laboratori Generasi Siber, Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN