Undang-undang longgar menyebabkan jenayah semakin berani

Undang-undang longgar menyebabkan jenayah semakin berani

MASYARAKAT sentiasa dahagakan keadilan dan perundangan sebenar dengan menuntut meminda akta seperti tambah tempoh hukuman, denda tanpa mengira status, agama dan keluarga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini, kadar jenayah dilihat semakin membimbangkan dan memberi tekanan kepada masyarakat serta agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Walaupun pelbagai usaha dilaksanakan untuk membanteras jenayah, sama ada melibatkan nyawa atau kesalahan lain, realitinya tidak semua penjenayah menerima hukuman setimpal. Ada yang terlepas daripada tindakan undang-undang, manakala sebahagian lagi dikenakan hukuman yang dianggap tidak sepadan dengan kesalahan dilakukan. Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang keberkesanan sistem perundangan negara.

Isu ini bukanlah perkara baharu. Ia telah lama berakar dalam sistem undang-undang kita, khususnya melibatkan Kanun Keseksaan yang jarang dipinda secara menyeluruh. Walaupun terdapat pindaan dari semasa ke semasa, perubahan yang dilakukan dilihat terlalu sedikit dan tidak mengikuti perkembangan semasa. Malah, pemansuhan hukuman mandatori atas alasan tertentu turut mengundang perdebatan dalam kalangan masyarakat yang mahukan keadilan lebih tegas.

Selain itu, undang-undang lain berkaitan jenayah seperti keganasan rumah tangga, rusuhan, pemilikan pakaian seragam tanpa kebenaran dan kesalahan trafik juga dilihat kurang mengalami perubahan ketara. Sebagai contoh, Akta Pengangkutan Jalan 1987 masih mengekalkan bentuk hukuman dan denda yang dianggap tidak lagi berkesan dalam mendidik pengguna jalan raya. 

Fenomena seperti lumba haram, penyalahgunaan dadah dan pemanduan di bawah pengaruh alkohol terus berlaku walaupun pelbagai operasi penguatkuasaan dijalankan. Ini menunjukkan hukuman sedia ada gagal menimbulkan rasa gerun dalam kalangan pesalah.

Dalam hal ini, masyarakat mengharapkan sistem perundangan yang lebih tegas, adil dan berkesan. Pindaan undang-undang perlu dilakukan secara menyeluruh, termasuk meningkatkan kadar denda dan tempoh hukuman tanpa mengira latar belakang pesalah. Keadilan tidak seharusnya bersifat pilih kasih atau dipengaruhi faktor tertentu.

Akhirnya, tanggungjawab memperkukuh undang-undang terletak pada pihak berkuasa dan pembuat dasar. Selagi kelemahan ini tidak ditangani, selagi itulah jenayah akan terus berulang. Demi menjamin keselamatan masyarakat dan negara, prinsip ‘Kedaulatan Undang-Undang’ mesti ditegakkan dengan lebih serius dan konsisten. –UTUSAN

 

MATA RAKYAT

Ipoh, Perak

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN