PANTAI Penarak di Langkawi yang berjarak lebih kurang 3.7 kilometer (km)dari pekan Kuah dan 18km dari Pantai Cenang adalah pantai yang indah pemandangan dengan perahu-perahu nelayan. Berhampiran pantai ini terdapat sebuah perkampungan nelayan yang dikenali sebagai Kampung Penarak.
Apabila berkunjung dan bersantai di Pantai Penarak, segelintir penduduk kampung menjalankan aktiviti menarak kepah yang merupakan aktiviti tradisi di pantai ini.
Aktiviti menarak kepah di Pantai Penarak dilakukan sewaktu air laut surut sejauh lebih kurang 10 meter dari ‘gigi air’ atau pertemuan di antara daratan dan laut.
Harga sekilo kepah boleh mencecah sehingga RM8 dan kelazimannya menarak kepah ini dilakukan oleh orang-orang kampung, namun ada kalanya, terdapat orang luar menarak kepah ini sebagai satu aktiviti pantai.
Alatan penarak kepah yang diperbuat dari besi, kayu serta dan tali. Anggaran kos membuat penarak kepah ini adalah sekitar RM20. Cara menarak kepah adalah jalan mengundur sehingga penarak menyentuh permukaan pasir sedalam lebih kurang empat sentimeter.
Alat penarak kepah ini mempunyai tali yang diikat di belakang badan bagi mengurangkan tenaga sewaktu menarak kepah. Ini kerana jika tiada tali berkemungkinan akan menggunakan tenaga yang lebih banyak. Asas alatan penarak kepah diperbuat dari besi supaya dapat dibenamkan ke dalam pasir dengan lebih mudah.
Aktiviti menarak kepah ini telah dilakukan oleh orang-orang Kampung Penarak berdasarkan kepada bulan Islam atau dikenali sebagai bulan Melayu iaitu pada 13, 14, 15 dan 16 hari bulan sewaktu bulan mengambang.
Ini kerana air laut akan surut dengan banyak iaitu sehari dua kali pada sebelah pagi dan petang.
Sewaktu tarikh ini kepah dapat diperoleh dengan banyak sehingga mencecah empat kilogram berbanding hari biasa dua kilogram sahaja.
Masa yang sesuai untuk menarak kepah iaitu dua jam sesudah subuh dan dua jam selepas asar.
Uniknya kepah di Pantai Penarak dilihat dalam berbagai rupa kulit kepah sehingga menjadikan kepah dari Pantai Penarak mempunyai tarikan yang tersendiri.
Kepah yang baru diperoleh jika dimasak sambal atau tumbuk serai adalah manis kerana masih segar. Apapun menarak kepah di Pantai Penarak ini bukan sahaja berkenaan keenakan masakan kepah yang diperoleh tetapi perlu diberi perhatian tentang aktiviti dan peralatan tradisi menarak kepah yang seharusnya dikekalkan. Ini kerana ia merupakan kearifan tempatan yang dapat menjadi potensi tarikan pelancong dalam dan luar negara untuk melihat suasana unik dalam masyarakat yang tinggal di pesisiran Pantai Penarak ini.
Aktiviti tradisi menarak kepah ini merupakan simbol identiti dan budaya tempatan yang diwarisi turun temurun melambangkan kehidupan masyarakat yang dekat dengan laut dan bergantung kepada sumber alam semula jadi. –UTUSAN
DR. JAZLIZA JAMALUDDIN
Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah
Universiti Utara Malaysia (UUM).










