PELANTIKAN Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Abdul Halim Aman adalah yang terbaik serta bertepatan dengan pengalaman beliau lebih 40 tahun dalam bidang perundangan dan kehakiman.
Seorang yang amat layak dan selayaknya untuk mengetuai sebuah institusi anti rasuah seperti SPRM yang pada ketika ini sedang menghadapi defisit kepercayaan daripada majoriti rakyat berbilang kaum di negara ini.
Dengan pengalaman luas dalam bidang perundangan semenjak 1982 sehingga bersara wajib sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 2023 (melebihi 40 tahun perkhidmatan), beliau diharap dapat memacu kembali tahap keyakinan rakyat mahupun masyarakat dunia terhadap SPRM sebagai sebuah badan institusi anti rasuah yang benar-benar bebas dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Justeru itu, atas dasar bidang kuasa serta soal integriti penyiasatan yang adil adalah dituntut serta bebas dari sebarang istilah ‘boneka’ pihak tertentu.
Dengarlah rintihan orang awam di luar sana yang majoritinya mahukan agar setiap penyiasatan kes dijalankan secara telus malah jika wujud kes berprofil tinggi melibatkan orang awam, pihak elit mahupun tokoh politik sekalipun janganlah disimpan di bawah karpet malah elemen sebegini wajar ‘dinyahkan’ dari senarai integriti pihak SPRM. -UTUSAN
RAHMAD ISAHAK
Aktivis Politik










