Pertahan demokrasi berparlimen, perundangan

Pertahan demokrasi berparlimen, perundangan

WALAUAPUN Sultan Selangor menzahirkan titah ladang babi tidak harus dibenarkan di Selangor, namun perkara ini tidak sepatutnya menjadi senjata politik oleh mana-mana wakil rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMI mendesak semua parti politik dan wakil rakyat untuk mempertahankan demokrasi berparlimen serta menghormati keistimewaan perundangan, lebih-lebih lagi apabila menyentuh isu yang sensitif.

Kami kesal dengan serangan berbaur populisme perkauma terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki, ekoran ucapan beliau dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 22 April, lalu.

Siew Ki mencadangkan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup, serta berhujah risiko pencemaran dan kebersihan bagi semua jenis ternakan wajar mendapat pertimbangan dasar yang konsisten.

Walaupun Sultan Selangor menzahirkan titah bahawa ladang babi tidak harus dibenarkan di Selangor, namun perkara ini tidak sepatutnya dijadikan senjata politik oleh mana-mana wakil rakyat untuk membungkam rakan ahli dewan yang lain.

Wakil rakyat diberi mandat untuk mengangkat suara pengundi agar badan perundangan menjadi sebuah forum inklusif, di mana pelbagai nilai, kepentingan dan aspirasi boleh dipertimbangkan demi mencari pilihan dasar serta perundangan yang paling tuntas.

Justeru, memandangkan penternakan babi merupakan isu sensitif yang mempunyai kesan terhadap alam sekitar, sensitiviti budaya, sekuriti makanan dan inflasi, maka perbahasan dasar yang rasional dan berasaskan bukti menjadi lebih kritikal bagi mengelakkan kesan dasar yang tidak diingini.

Jika benar-benar percaya manusia dicipta pelbagai kaum untuk saling mengenali, maka kita harus bersedia untuk memahami pandangan orang lain dalam proses menggubal undang-undang dan dasar.

Inilah sebabnya badan perundangan demokratik memberikan keistimewaan bagi melindungi kebebasan bersuara ahli dewan daripada pendakwaan.

Keistimewaan DUN diperuntukkan secara nyata di Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan. Walaupun pindaan Akta Hasutan 1971 mengenakan sekatan terhadap keistimewaan parlimen/perundangan bagi empat perkara perlembagaan (Bahagian III, Perkara 152, 153 dan 181), isu penternakan babi tidak tertakhluk kepada sekatan tersebut.

Adalah sama sekali tidak wajar bagi mana-mana ahli dewan untuk cuba membungkam pandangan rakan sejawat yang dizahirkan dengan niat baik, sama ada percubaan itu berpunca daripada keangkuhan, kejahilan, mahupun ketaasuban yang nyata.

Kami mengecam tindakan Dr. Afif Bahardin (PN–Taman Medan) yang cuba merujuk Siew Ki ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor.

Ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab untuk menyekat kebebasan ahli dewan selain sengaja mencetuskan sentimen perkauman.

Usul tersebut ditolak sewajarnya oleh Speaker, Lau Weng San. Kami menggesa Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membimbing ahli dewan di bawah naungan beliau menghayati kepentingan mempertahankan demokrasi berparlimen, menghormati keistimewaan perundangan dan bertindak secara bertanggungjawab demi semua lapisan masyarakat. –UTUSAN

 

PROJEK SAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN