Pengurusan zakat juga perlu tingkat integriti

Pengurusan zakat juga perlu tingkat integriti

PENGURUSAN zakat berisiko kehilangan asasnya sebagai satu ibadah sekiranya tanpa pematuhan syariah yang jelas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM landskap ekonomi hari ini yang semakin mencabar, zakat bukan lagi sekadar ibadah tahunan tetapi menjadi instrumen penting dalam menangani jurang sosial dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Dalam konteks ini, institusi pengurusan zakat memikul amanah yang besar bukan sahaja untuk mengutip dan mengagih dana tetapi memastikan setiap sen yang diuruskan sampai kepada yang berhak secara telus.

Perbincangan tentang integriti dalam pengurusan zakat semakin mendapat perhatian, khususnya apabila masyarakat semakin peka terhadap isu ketelusan dan keberkesanan agihan. Kepercayaan masyarakat tidak datang sendiri tetapi terbina apabila urusan dilaksanakan secara konsisten dan mematuhi peraturan serta prinsip syariah dengan baik.

Dalam pengurusan zakat, setiap keputusan bukan boleh dibuat secara sembarangan. Penentuan kelayakan asnaf, pengiraan had al-kifayah dan reka bentuk skim bantuan perlu melalui penelitian yang rapi. Ini penting bagi memastikan zakat benar-benar sampai kepada golongan yang berhak seperti fakir, miskin dan mereka yang memerlukan sokongan untuk keluar daripada kitaran kemiskinan.

Lebih membimbangkan, ia boleh menjejaskan keyakinan pembayar zakat yang mengharapkan dana mereka diuruskan dengan penuh amanah. Justeru, setiap proses perlu berpandukan fatwa dan garis panduan yang telah ditetapkan agar tidak tersasar daripada tujuan sebenar zakat.

Dalam masa sama, kepatuhan dari sudut tadbir urus juga memainkan peranan penting dalam membina kepercayaan masyarakat. Ketelusan perlu diterjemahkan melalui amalan seperti audit berkala, pelaporan kewangan yang terbuka dan pemantauan dalaman yang berkesan.

Apabila sistem pengurusan jelas dan boleh dipertanggungjawabkan, ruang untuk ketirisan dapat diminimumkan. Lebih penting, ia membantu menepis persepsi negatif yang kadangkala timbul terhadap institusi zakat.

Dalam era maklumat tanpa sempadan, satu kelemahan kecil boleh memberi kesan besar kepada reputasi. Oleh itu, pematuhan kepada prinsip tadbir urus yang baik bukan lagi pilihan tetapi keperluan.

Namun, pengurusan zakat yang baik tidak hanya diukur melalui laporan kewangan atau pematuhan prosedur tetapi yang lebih utama ialah impak kepada penerima. Agihan zakat yang berkesan tidak berlaku secara rawak. Ia memerlukan data yang tepat, pemantauan berterusan dan pendekatan yang bersasar.

Dengan adanya sistem pangkalan data yang baik, institusi zakat dapat mengenal pasti keperluan sebenar asnaf dan merancang bantuan yang lebih berimpak.

Sebagai contoh, bantuan tidak lagi terhad kepada keperluan harian semata-mata tetapi turut merangkumi pendidikan, latihan kemahiran dan sokongan keusahawanan. Matlamat akhirnya jelas dengan membantu asnaf berdikari dan dalam jangka panjang, beralih daripada penerima zakat kepada penyumbang zakat.

Pendekatan ini selari dengan peranan zakat sebagai pemangkin perubahan sosial. Ia bukan sekadar bantuan jangka pendek tetapi pelaburan untuk membina kemandirian ekonomi ummah.

Hakikatnya, pengurusan zakat bukan hanya soal angka dan laporan. Ia adalah amanah yang besar, melibatkan kepercayaan manusia dan tanggungjawab kepada Allah SWT. Setiap keputusan yang dibuat memberi kesan langsung kepada kehidupan penerima yang bergantung harap kepada bantuan tersebut.

Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu, peranan institusi zakat menjadi semakin signifikan. Oleh itu, integriti melalui pematuhan perlu terus diperkukuh, bukan sahaja untuk memastikan sistem berjalan dengan baik tetapi juga untuk menjamin keadilan sosial dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.-UTUSAN

HARIS DAHLAN
Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (Wazan)
Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN