KES penyelewengan dana amanah awam terus mencetuskan kebimbangan masyarakat dan pihak berkepentingan.
Walaupun negara sering dihimpunkan dengan pelbagai isu politik dan perubahan kepimpinan, namun isu salah guna kuasa masih kekal menjadi perhatian utama, terutama apabila ia melibatkan dana berskala besar dan institusi yang memikul mandat menjaga kepentingan awam.
Keadaan ini menimbulkan persoalan serius tentang tahap integriti, ketelusan serta keberkesanan mekanisme kawal selia dalam pengurusan dana awam.
Penyelewengan dana amanah bukan sekadar isu kewangan tetapi mencerminkan kelemahan tadbir urus dan kegagalan sistem pengawasan institusi.
Dana amanah dibina atas asas kepercayaan rakyat, maka sebarang penyalahgunaan bukan sahaja merugikan negara, malah menghakis keyakinan masyarakat terhadap institusi yang sepatutnya menjaga amanah tersebut.
Kesan ini akhirnya menjejaskan kesejahteraan sosial dan pembangunan negara secara menyeluruh.
Carian umum berkaitan ‘seleweng dana’ di platform digital seperti Google menunjukkan pelbagai laporan melibatkan penjawat awam, tokoh terkenal, selebriti dan pempengaruh media sosial.
Situasi ini membuktikan penyelewengan dana tidak lagi bersifat terpencil, sebaliknya telah menjadi isu berulang yang merentas pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam hal ini, pihak berkuasa wajar memperkukuh kerangka perundangan berkaitan pengurusan dana amanah. Walaupun usaha menggubal undang-undang atau manual baharu amat dialu-alukan, namun keberkesanannya tetap bergantung pelaksanaan dan penguatkuasaan yang tegas serta berintegriti.
Tanpa penguatkuasaan yang konsisten, sebarang akta hanya kekal sebagai dokumen tanpa impak sebenar.
Secara prinsipnya, dana amanah merupakan tanggungjawab besar dalam Islam. Allah SWT menegaskan dalam Surah al-Nisa, ayat 58 agar amanah diserahkan kepada yang berhak serta setiap keputusan dilaksanakan dengan adil.
Prinsip ini menuntut kejujuran, ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap pengurusan dana.
Pada masa sama, sistem pengurusan dana perlu meraikan peranan institusi seperti madrasah, sekolah dan pusat kebajikan yang bergantung kepada sumbangan orang ramai.
Banyak institusi ini dikendalikan secara profesional dengan audit yang telus serta memberi manfaat besar kepada masyarakat. Justeru, pendekatan penguatkuasaan perlu bersifat inklusif tanpa menjejaskan institusi yang berintegriti.
Pengurusan akaun amanah juga perlu diperkukuh sebagai mekanisme utama kawalan kewangan. Akaun ini membolehkan dana diasingkan daripada akaun biasa, sekali gus memastikan ia digunakan mengikut tujuan asal serta meningkatkan kepercayaan penyumbang.
Namun, sistem sedia ada masih memerlukan penambahbaikan dari segi pemantauan dan kecekapan pengurusan.
Dalam konteks penguatkuasaan, pihak berkuasa boleh mengadaptasi sistem audit halal, garis panduan kewangan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) serta prinsip tadbir urus dalam undang-undang cukai.
Pendekatan ini menekankan dokumentasi, ketelusan dan pemantauan berterusan yang mampu mengurangkan risiko salah guna dana.
Selain itu, aspek pendaftaran organisasi dan individu pengurus dana perlu diperketat melalui saringan kredibiliti yang lebih ketat. Ketelusan pendaftaran akan membantu pihak berkuasa mengenal pasti tanggungjawab, meningkatkan pemantauan serta mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
Akhirnya, isu penyelewengan dana tidak boleh diselesaikan hanya melalui hukuman semata-mata. Pembinaan modal insan yang berintegriti, amanah dan beretika perlu bermula dari rumah, diperkuat di sekolah dan diperkukuh di institusi pengajian tinggi.
Hanya dengan pembinaan nilai secara menyeluruh, masyarakat dapat melahirkan generasi yang benar-benar memahami makna amanah dan tanggungjawab. – UTUSAN
DR. MOHD. SHAHID MOHD. NOH
Ketua Jabatan Syariah, Ekonomi
dan Governan, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya










