Najib arkitek, dalang penyelewengan dana 1MDB - Pendakwaan

Najib arkitek, dalang penyelewengan dana 1MDB – Pendakwaan

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukanlah mangsa dalam skandal penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebaliknya adalah arkitek dan dalang penyelewengan tersebut.

Selain itu, bukti telah menunjukkan bahawa individu-individu yang kini dipersalahkan oleh bekas Ahli Parlimen Pekan terbabit adalah orang bawahannya dan bertindak atas arahan atau kelulusan daripadanya yang disampaikan melalui orang tengah iaitu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Setiap saksi beroperasi dalam satu struktur yang dibentuk dan dikuasai oleh tertuduh. Tindakan mereka tidak boleh dipisahkan daripada kuasa dan autoritinya. Kerjasama mereka (dalam melakukan kesalahan) tidak membebaskan tertuduh daripada tanggungjawab. 

“Sebaliknya, keterangan mereka mendedahkan bahawa beliaulah pihak berkuasa utama, penerima manfaat, dan kuasa penggerak di sebalik semua tindakan yang dipersoalkan. Individu yang kini dilabelnya sebagai pesalah telah terbukti bertindak atas arahannya, melalui pejabatnya dan untuk kepentingannya.

“Beliau (Najib) bukan mangsa kepada jenayah orang lain. Beliaulah perancang kepada jenayah tersebut. Bukti menunjukkan tertuduh bukan seorang lelaki yang dizalimi oleh orang lain, tetapi seorang lelaki yang menggunakan orang lain untuk melaksanakan kehendaknya dan kini berusaha melepaskan diri daripada akibat perbuatannya sendiri.

“Tertuduh bukan mangsa. Beliaulah dalangnya. Beliau tidak boleh melepaskan tanggungjawab kepada mereka yang berada di bawahnya apabila kelulusannya sendiri, pejabatnya sendiri dan akaun-akaunnya sendiri adalah titik utama urus niaga tersebut,” hujah Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Akram Gharib.

Tambah pendakwa raya itu, Memorandum dan Artikel Pertubuhan 1MDB dengan jelas mensyaratkan bahawa sebarang pelaburan, pinjaman, atau komitmen kewangan mesti mendapat kelulusan bertulis daripada beliau.

Ahmad Akram berkata demikian ketika menggulung hujah pendakwaan di akhir kes pembelaan dalam kes penyelewengan dana 1MDB yang kini memasuki tahun ketujuh. Hujahan di akhir pembelaan dijangka akan tamat esok sebelum mahkamah membuat keputusan.

Selain itu, Ahmad Akram menghujahkan, `kata pengantar’ yang dibacakan Najib pada hari pertama mahkamah mendengar hujahan di akhir kes pembelaan bukanlah fakta sebaliknya satu usaha untuk melepaskan diri dan merupakan satu sandiwara politik.

“Tertuduh, Datuk Seri Najib menggambarkan dirinya sebagai mangsa kepada pegawai bawahan yang tidak jujur sedangkan hakikatnya beliau merupakan individu paling berkuasa dalam membuat keputusan di Malaysia serta dalam 1MDB pada masa yang berkaitan.

“Saksi-saksi telah memberi keterangan bahawa tiada keputusan besar yang boleh dibuat tanpa kelulusan daripada tertuduh. Malah, bekas-bekas pengarah 1MDB yang tidak bersetuju pun berasa terpaksa akur selepas campur tangan tertuduh. 

“Contoh yang jelas ialah ‘panggilan telefon’ kepada bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Bakke Salleh yang menyebabkan Lembaga tergesa-gesa meluluskan usaha sama dengan PetroSaudi walaupun terdapat keraguan yang serius.

“Oleh itu, tertuduh bukanlah seorang pemerhati dari jauh dan terpisah tetapi sumber utama kuasa segala arahan (berkait penyelewengan),”kata Ahmad Akram.

Prosiding bersambung esok dengan pihak pembelaan dijangka akan menggulung hujah mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×