Pelihara makanan tradisional

Pelihara makanan tradisional

MAKANAN tradisional bukan sahaja melambangkan identiti bangsa, malah mampu mengeratkan perpaduan masyarakat serta menyumbang kepada ekonomi negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAKANAN tradisional merupakan identiti sesuatu bangsa dan mencerminkan keunikan budaya masyarakat di sesebuah negara. 

Malaysia yang terkenal dengan masyarakat majmuk mempunyai pelbagai jenis makanan tradisional yang melambangkan budaya setiap kaum. Sebagai contoh, orang Melayu terkenal dengan nasi lemak, rendang, ketupat dan lemang.

Masyarakat Cina pula sinonim dengan kuih bakul dan Yee Sang, manakala kaum India terkenal dengan muruku, tosai selain manisan iaitu Gulab Jamun termasuklah makanan tradisional orang asli serta masyarakat di Sabah dan Sarawak. 

Makanan tradisional juga memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan dan perpaduan masyarakat. Penyediaan makanan tradisional biasanya melibatkan kerjasama ahli keluarga dan masyarakat setempat. 

Sebagai contoh, aktiviti membuat dodol, lemang atau ketupat sering dilakukan secara bergotong-royong ketika musim perayaan. 

Aktiviti seperti ini bukan sahaja dapat meringankan kerja, malah mampu merapatkan hubungan silaturahim antara ahli keluarga, jiran dan masyarakat tanpa mengira kaum. Tradisi ini juga mengajar generasi muda tentang nilai kerjasama, hormat-menghormati dan semangat perpaduan yang semakin terhakis dalam kehidupan moden masa kini.

Makanan tradisional turut memainkan peranan penting dalam sektor ekonomi dan pelancongan negara. Malaysia sememangnya terkenal sebagai syurga makanan yang menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia. Ramai pelancong asing datang ke negara ini untuk menikmati sendiri keunikan makanan tradisional tempatan seperti nasi kandar, sate, laksa dan cendol. 

Keadaan ini secara tidak langsung membantu meningkatkan pendapatan peniaga kecil dan memperkukuh industri pelancongan negara. Oleh itu, kerajaan dan pihak berkaitan perlu memperbanyak festival makanan tradisional serta mempromosikan makanan tempatan melalui media massa dan platform digital supaya lebih dikenali di peringkat antarabangsa.

Makanan tradisional merupakan khazanah budaya yang sangat bernilai dan perlu dipelihara oleh semua pihak. Makanan tradisional bukan sahaja melambangkan identiti bangsa, malah mampu mengeratkan perpaduan masyarakat serta menyumbang kepada ekonomi negara. 

Oleh itu, semua pihak termasuk ibu bapa, sekolah, kerajaan, media dan masyarakat perlu berganding bahu memelihara makanan tradisional demi memastikan kelestarian budaya bangsa terus kekal dan dihargai oleh generasi masa hadapan. –UTUSAN

 

DR. JAZLIZA JAMALUDDIN

Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia

Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah

Universiti Utara Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN