Ramai cakap saya nampak kurus, tidak makan banyak - Amyza Adnan - Utusan Malaysia

Ramai cakap saya nampak kurus, tidak makan banyak – Amyza Adnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“JANGAN tanya soalan sedih-sedih ya,”

Demikian kata pelakon dan pelawak, Amyza Adnan sambil ketawa ketika bertemu Utusan Malaysia sejurus persembahan anaknya, Adam Adrian di sebuah program hiburan, baru-baru ini. Kelihatan tubuh makin susut, AmyzaMmengakui bahawa selera makannya sudah berubah.

Amyza, 49, berkata dia tidak boleh mengambil makanan dengan kuantiti yang banyak, namun tidak lupa menjamah makanan kerana memerlukan tenaga untuk menjaga anaknya, Adrian Adam yang kini disahkan menghidap kanser tulang.

Seakan menyembunyikan kesedihan kepada rakan media, Amyza bagaimanapun dilihat berseloroh mengakui mungkin seleranya akan bertambah baik sekiranya ada orang yang mahu menyuapnya.

“Ramai cakap memang saya nampak kurus berbanding biasa. Tapi saya sendiri tidak pula rasa untuk timbang berat, saya masih makan cuma kuantiti tidak sebanyak dulu. 

“Saya pula makan benda sama berulang kali, nasi memang makanan wajib setiap pagi cuma tak boleh makan banyak. Tak tahu mengapa, kadang ambil banyak tapi tak boleh habiskan.

“Mungkin kena ada yang suap agaknya,” katanya ketawa.

Bagaimanapun, ibu kepada tiga orang anaknya itu terdiam ketika diitanya mengenai keadaan mentalnya sekarang. Sejak anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail menghembuskan nafas terakhir Februari lalu, kemudian diuji pula dengan anak kedua, Adrian Adam yang turut berjuang melawan kanser, Amyza mengakui dia banyak menghiburkan hati sendiri dengan berjenaka. 

“Saya masih macam dulu, rasa rindu kehilangan tak boleh dibuang sampai sekarang. Sampai hari ini saya akan teringat arwah dan menangis.

“Tapi saya gila-gila sama macam dulu, saya fikir itu sahaja cara saya untuk lupakan kesedihan. Lagipula, itu juga memang sifat saya sejenis suka bergurau,” katanya.

Jelas Amyza, dia masih melawat kubur anak sulungnya, membacakan doa, mengirim Al-Fatihah walaupun dalam keadaan hujan. Pelakon Tiga Dara: Tan Tin Tun itu juga mengakui menolak tawaran berlakon selama beberapa bulan demi memberi tumpuan kepada diri dan keluarga.

“Semasa awal-awal dahulu, memang saya tolak tawaran berlakon. Tapi sekarang, apabila sudah masuk hujung bulan lima barulah saya perlahan-lahan menimbang tawaran lakonan yang ada, tengah ding dong harga. Insya-Allah jika tiada aral melintang, saya akan boleh mula penggambaran semula,” katanya.

Bercerita mengenai anaknya, Adrian Adam yang mesra disapa sebagai Ian, Amyza bersyukur kerana anaknya tidak banyak kerenah, bahkan sedaya upaya menyembunyikan rasa hati kerana tidak mahu ibunya bersedih.

“Tidak susah uruskan Ian, dia seboleh-bolehnya mahu hadap semua sendiri. Sakit pun dia tak beritahu saya. Sedar-sedar saya nampak dia sudah menangis. Bila tanya, dia kata tak mahu susahkan.

“Anak-anak saya memang begitulah, sama juga dengan arwah abangnya. Saya juga boleh kerja macam biasa cuma tempoh hari sahajalah tak ambil tawaran kerana Ian baru sahaja mulakan rawatan, jadi saya mahu fokus untuk dirinya dalam sebulan dua ini,”  tambahnya.

Dalam masa sama, Amyza turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menderma untuk anaknya, membolehkan dia membelikan sebuah kerusi roda memudahkan Ian yang bengkak di bahagian kaki untuk bergerak.

“Mula-mula dia tidak mahu pakai kerana memilih untuk berdikari. Tapi saya yakinkan dan kata, kita kena kurangkan pergerakan kerana takut bengkak akan semakin teruk. Tapi saya beri sahaja pilihan kalau dia mahu jalan macam biasa, silakan. Tapi kalau mahu ke pusat beli-belah, bagaimana mahu jalan?

“Jadi saya buat keputusan dapatkan kerusi roda untuk Ian dan ada pihak yang dermakan. Alhamdulillah, selama mana Ian masih pakai kerusi ini, akan mengalir pahala mereka yang berikan sumbangan,” jelasnya.

Penampilan Ian membuat kemunculan istimewa menyanyikan lagu Ku Mohon di pentas Talk To My Manager meraih perhatian ramai. Dedah Amyza, dia tidak dapat menahan sebak melihat persembahan anaknya kerana itu merupakan salah satu hajat tidak kesampaian Ian bersama arwah abangnya.

“Bila tengok dia nyanyi atas pentas, perasaan saya bercampur-baur. Sepatutnya perancangan asal, dia kata kalau masuk, dia nak berduet dengan abang dia, Andre. Tapi tak sempat.

“Cuma yang kelakar, dia pula ingatkan saya jangan terlalu beremosi. Tapi saya tahu, dalam hati, dia bawa semangat abangnya untuk bersama di atas pentas. Itu yang membuatkannya kuat untuk tampil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN