Pekerja selamat atau sistem gagal?

Pekerja selamat atau sistem gagal?

KESELAMATAN pekerja bukan isu sampingan, sebaliknya asas kepada produktiviti dan kelestarian ekonomi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali Hari Pekerja dan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Sedunia disambut, perhatian negara lazimnya tertumpu kepada sumbangan tenaga kerja terhadap pembangunan ekonomi. Namun, pengiktirafan terhadap pekerja tidak lagi memadai tanpa komitmen tegas terhadap keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan mereka di tempat kerja.

Landskap pekerjaan kini berubah dengan pantas. Model kerja konvensional yang tertumpu di pejabat, kilang atau tapak pembinaan semakin digantikan dengan pola kerja hibrid dan fleksibel. Perubahan ini menuntut pendekatan KKP yang lebih luas, responsif dan proaktif.

Risiko pekerjaan juga tidak lagi terhad kepada ruang fizikal, sebaliknya turut merangkumi tekanan mental, keletihan digital, isu ergonomik, pengasingan sosial serta ketidakseimbangan kerja dan kehidupan.

Dalam masa sama, ekonomi gig yang berkembang pesat mewujudkan cabaran baharu apabila pekerja terdedah kepada ketidakpastian perlindungan sosial dan tanggungjawab majikan. 

Sektor pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar) pula masih menjadi tulang belakang ekonomi dalam bidang pembinaan, pembuatan, logistik serta perladangan, sekali gus menuntut tahap keselamatan yang tinggi kerana risiko kecederaan mahupun kehilangan nyawa masih signifikan.

Sehubungan itu, pendekatan KKP tidak boleh lagi bersifat statik atau sekadar pematuhan minimum undang-undang. KKP perlu dijadikan budaya kerja dan disiplin pengurusan. Elemen pengaturan kendiri perlu diperkukuh supaya organisasi mampu mengurus risiko secara proaktif tanpa menunggu tindakan penguatkuasaan atau berlakunya kemalangan.

Namun, masih banyak organisasi bersikap reaktif, hanya bertindak selepas insiden berlaku atau selepas isu menjadi tular. Pendekatan ini bukan sahaja merugikan dari segi ekonomi, malah menjejaskan keselamatan dan maruah pekerja.

Oleh itu, Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2026–2030 (OSHMP30) menjadi kerangka penting dalam memperkukuh ekosistem KKP negara. Pelan ini menekankan pembinaan sistem yang berdaya tahan, inklusif dan berorientasikan pencegahan selaras perubahan dunia kerja masa hadapan.

Dalam konteks pelaksanaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu menjadi peneraju dengan menetapkan standard KKP yang tinggi serta memastikan pematuhan meliputi seluruh rantaian bekalan termasuk vendor dan kontraktor.

Keselamatan pekerja bukan isu sampingan, sebaliknya asas kepada produktiviti dan kelestarian ekonomi. Tanpa anjakan kepada budaya pencegahan menyeluruh, hak paling asas pekerja untuk pulang ke rumah dengan selamat setiap hari akan terus terabai.-UTUSAN

 

DR. MOHAMAD XAZAQUAN MANSOR ALI

Pensyarah Kanan,

Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran (SEEDS),

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN