APABILA media sosial menjadi ruang utama untuk melihat kehidupan orang lain, ramai tanpa sedar sedang memikul tekanan emosi yang semakin berat.
Kita mungkin hanya mahu berehat seketika tetapi tangan terus menatal skrin tanpa henti, dari satu gambar ke satu video, dari satu kisah kejayaan ke satu lagi pencapaian orang lain.
Sedikit demi sedikit, perasaan itu berubah. Dada mula terasa sempit, hati menjadi resah dan timbul persoalan dalam diri, mengapa hidup aku tidak seperti mereka? Hakikatnya, kita bukan sekadar penat bekerja tetapi lebih kepada penat membandingkan hidup sendiri dengan kehidupan orang lain.
Keadaan ini dikenali sebagai Takut Ketinggalan (FOMO), iaitu rasa bimbang orang lain sedang menikmati kehidupan yang lebih baik, lebih berjaya atau lebih menyeronokkan. Akibatnya, seseorang terus menyemak media sosial walaupun sudah letih kerana takut terlepas sesuatu yang dianggap penting.
Media sosial pula sering memaparkan sisi terbaik kehidupan. Kita melihat kejayaan, senyuman dan detik indah tetapi jarang melihat kegagalan, tekanan atau kesedihan yang tersembunyi di sebaliknya. Apabila paparan ini dilihat berulang kali, minda mula percaya hidup orang lain sentiasa lebih sempurna daripada diri sendiri.
Perbandingan ini akhirnya melahirkan rasa rendah diri, gelisah dan tidak puas terhadap kehidupan sendiri. Sedangkan setiap orang sedang melalui perjalanan hidup yang berbeza, dengan cabaran dan ujian yang tidak sama.
FOMO juga memberi kesan kepada kesihatan mental. Ia mengganggu fokus, menjejaskan emosi dan mengurangkan rasa syukur. Seseorang menjadi terlalu bergantung kepada telefon, sukar berehat dan hilang ketenangan dalam kehidupan harian.
Untuk mengatasinya, seseorang perlu mengawal masa penggunaan media sosial dan berhenti membandingkan diri dengan orang lain. Hidup tidak perlu diukur melalui pencapaian orang lain sebaliknya melalui perkembangan diri sendiri. Selain itu, masa bersama keluarga dan aktiviti dunia nyata perlu diutamakan.
Latihan bersyukur juga penting kerana membantu menenangkan hati yang resah. Apabila seseorang mula menghargai apa yang dimiliki, rasa kekurangan akan berkurang secara perlahan.
Akhirnya, ketenangan tidak datang daripada skrin telefon tetapi daripada hati yang reda dan bersyukur. Hidup bukan tentang siapa yang paling hebat di mata manusia tetapi siapa yang paling tenang menerima perjalanan hidupnya sendiri. –UTUSAN
DR. MOHD. AFIFUDDIN MOHAMAD
Pensyarah Psikologi dan Psikospiritual,
Jabatan Kesihatan Komuniti,
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB),
Universiti Sains Malaysia (USM).










