Rumah disita, saya pernah tinggal di bawah jambatan - Apek - Utusan Malaysia

Rumah disita, saya pernah tinggal di bawah jambatan – Apek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SEKARANG bila pandang makanan, saya ada rasa syukur yang dalam. Dulu nak makan susah, ambil sisa orang,”

Demikian kata pelawak dan pelakon, Saiful Apek menceritakan kisah perit yang dilaluinya semasa berusia 21 tahun yang bukan sahaja kehilangan tempat bergantung, malah tiada juga tempat berteduh. Bermula dengan berita pemergian sosok seorang ibu, Apek atau Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 57, hanya mengetahui bahawa  dirinya seorang anak angkat ketika mahu mencium jenazah ‘ibunya’ buat kali terakhir.

Dua berita mengejutkan itu sukar ditelan Apek yang ketika itu baru sahaja mahu menginjak alam dewasa. Tiada siapa yang mampu menjawab di mana keluarga asalnya. Dengan diri yang keliru dan berkecamuk Apek bermusafir dan bekerja di Singapura. Namun akibat masalah permit, dia pulang kembali ke kediamannya di Petaling Jaya dua bulan selepas itu.

“Saya memang ‘sesat’ ketika itu, usia pula 21 tahun sangat muda. Anak tunggal pula. Lepas balik, saya terkejut tengok rumah di Seksyen 17, Petaling Jaya sudah disita. Bila intai dari celah tingkap, memang sudah kosong tak ada apa yang tinggal.

“Saya tanya jiran namanya Cik Te, mana ayah? Dia kata bapa sudah pindah bawa satu kontena. Tapi bapa memang tak cakap apa-apa, zaman itu pun mana ada media sosial, telefon macam sekarang, cuma dia tinggalkan beg. Ingat lagi warna silver jenama Hi-Tech.

“Saya fikir mungkin dalam beg itu ada jongkong emas. Tapi bila buka ada baju-baju saya, kain batik, kain pelikat, lepas itu ada satu bendera Malaysia. Itu sahaja. Berbekalkan beg itulah saya hidup,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini. 

Buntu tidak tahu ke mana, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular 2003 pernah menumpang rumah rakan-rakan untuk hidup.

“Bila saya duduk rumah kawan, terdengar pula mak dia marah kawan, kenapa bagi saya masuk rumah nanti ada barang hilang bagaimana? Perlahan-lahan saya lari keluar dan bermulalah hidup sebagai gelandangan bawah jejambat Federal Highway sebelah hotel Hilton.

“Kalau orang tengok bendera Malaysia rasa patriotik, saya tak. Mata saya melihat bendera Malaysia itulah selimut, kelambu halang daripada kena gigit nyamuk dan sejuk,” katanya.

Ditanya mengenai sumber makanan pada ketika itu, Apek terdiam seketika. Katanya, dia berlapar selama 72 jam kerana tidak mampu untuk membeli sebaran makanan.

“Awak nak tahu macam mana saya makan? Saya tunggu tepi kedai mamak, bila orang habis makan saya lari ambil apa yang ada. Itulah saya dulu.

“Cuma ada momen yang saya tak boleh lupa, ketika itu wang cuma ada RM2. Kalau makan memang saya kenyang, tapi lepas itu hendak makan apa?.

”Kemudian saya nampak mesin judi, terfikir juga kalau saya ‘tanam’ wang di sit, dapatlah RM20 lepas juga makan seminggu,” katanya.

Diselamatkan tuala ‘good morning’

Di tengah keadaan yang serba menekan, ahli kumpulan Senario itu hanya bergantung kepada Allah. 

“Kalau kita terdesak macam ketika itu, halal atau haram memang tak boleh fikir sebab sangat lapar. Tapi saya doa ‘Ya Allah, apa saja keputusan aku ni harap Kau maafkanlah, atau Kau bagilah aku petunjuk’. 

“Tapi saya tak jadi ke mesin judi, bila jalan-jalan saya ternampak pasar raya. Di situlah saya nampak benda yang mengubah hidup iaitu dua tuala ‘good morning’. 

“Saya beli tuala itu dan mula lap-lap kereta dan jaga parking.

 Sebelum saya turun bawah, saya nampak satu pasar raya. Dia ada display kaca, ada lampin, susu budak. Saya nampak satu benda yang saya rasa mungkin boleh ubah hidup saya. Hari pertama saya dapat RM20 macam apa yang saya mahu dekat depan mesin judi itu,” katanya.

Sejak itu, Apek mula membina hidup sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur. Dia kemudian mendapat pekerjaan pengurus yang menyediakan tempat tinggal. Pengalaman itu digunakannya untuk menyelami hati anak muda yang meluahkan rasa putus asa di Threads hari ini.

“Allah sayang kita seluas lautan. Kita jangan buruk sangka  dan tanya Allah ‘Kenapa aku?’,  Allah akan jawab ‘Kenapa tidak? Aku Big Boss’. Bersyukurlah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN