Latihan industri teras ekonomi berasaskan kemahiran

Latihan industri teras ekonomi berasaskan kemahiran

LATIHAN industri bukan lagi sekadar keperluan akademik tetapi komponen utama dalam membentuk tenaga kerja masa hadapan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

2026 memperlihatkan tekanan berganda kepada ekonomi global apabila rantaian bekalan masih rapuh, inflasi terus menekan kos sara hidup dan krisis tenaga memaksa industri menstruktur semula operasi secara agresif. 

Dalam suasana ini, pasaran kerja menjadi semakin kompetitif dengan ketidakseimbangan ketara antara permintaan tinggi terhadap tenaga mahir teknikal dan kekurangan bakat yang benar-benar bersedia memasuki industri.

Laporan ManpowerGroup menunjukkan lebih 70 peratus majikan global berdepan kesukaran mendapatkan pekerja berkemahiran tinggi, khususnya dalam bidang teknikal dan kejuruteraan gunaan. 

Situasi ini mencerminkan jurang struktur antara sistem pendidikan dan keperluan industri yang semakin kompleks. Di Malaysia, cabaran ini selari dengan usaha memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai teras pembangunan ekonomi baharu.

Namun, perbincangan tentang TVET sering tertumpu kepada kurikulum semata-mata, sedangkan fasa peralihan ke dunia pekerjaan sebenar kurang diberi perhatian. 

Latihan industri sepatutnya menjadi medan utama menguji kebolehan pelajar, namun masih dibayangi persepsi lama yang menganggap pelatih sebagai tenaga sokongan tanpa nilai strategik. Hakikatnya, pelatih perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam pembangunan tenaga kerja masa hadapan.

Seiring peralihan tenaga global dan agenda kelestarian, keperluan tenaga kerja teknikal semakin mendesak. Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara mengunjurkan lebih 300,000 peluang pekerjaan hijau dalam sektor tenaga boleh baharu, kenderaan elektrik, grid pintar dan automasi industri. 

Laporan Agensi Tenaga Antarabangsa mengunjurkan keperluan peningkatan tenaga kerja teknikal sehingga 50 peratus menjelang 2030.

Dalam konteks ini, latihan industri menjadi platform penting menilai keupayaan sebenar pelajar. KajianPersatuan Pengurusan Sumber Manusia menunjukkan kesilapan pengambilan pekerja boleh menelan kos sehingga 30 peratus daripada gaji tahunan, sekali gus menjadikan latihan industri sebagai instrumen strategik bagi mengurangkan risiko tersebut.

Daripada perspektif pelajar, pendekatan terhadap latihan industri perlu berubah. Sikap pasif tidak lagi relevan dalam persekitaran kerja moden yang menuntut inisiatif, penyelesaian masalah dan keupayaan mencipta nilai. Pelajar yang mampu meningkatkan kecekapan proses, mengurangkan pembaziran atau menambah baik operasi organisasi akan lebih dihargai sebagai aset strategik.

Keberkesanan ekosistem ini memerlukan kerjasama erat antara institusi pendidikan, industri dan kerajaan. ‘

Industri perlu memainkan peranan aktif sebagai pembentuk bakat, bukan sekadar penerima tenaga kerja. Pada masa sama, isu kebajikan pelatih perlu diberi perhatian agar akses kepada latihan berkualiti tidak terhalang oleh tekanan kos sara hidup.

Akhirnya, latihan industri bukan lagi sekadar keperluan akademik tetapi komponen utama dalam membentuk tenaga kerja masa hadapan.

Dalam era transformasi teknologi dan peralihan tenaga, TVET serta latihan industri menjadi asas penting dalam melahirkan generasi teknokrat yang berkemahiran tinggi, berdaya saing dan bersedia menggerakkan ekonomi negara ke hadapan. –UTUSAN

 

NURUL NISHA MOHD SHAH & MOHD FOZI HAFIZ HASSAN

Universiti Teknologi Mara (UiTM) & Institut Kemahiran Belia Negara Pekan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN