“HARI ini ibu balik lambat sikit… kerja banyak. Tunggu ibu ya,” pesan seorang wanita kepada anak kecilnya sebelum melangkah keluar rumah seperti biasa.
Tiada apa yang luar biasa pada pagi itu. Dia mencapai beg tangan, menutup pintu perlahan, lalu melangkah menuju tempat kerja. Namun fikirannya sudah sarat dengan tugasan, sementara hatinya tetap tertinggal di rumah bersama anak-anak yang menanti kepulangannya.
Dia keluar bukan sekadar untuk bekerja tetapi untuk menggalas tanggungjawab hidup. Dia membawa harapan untuk memastikan dapur terus berasap, yuran sekolah anak-anak terbayar, dan kehidupan keluarga menjadi lebih baik daripada semalam. Ramai ibu bekerja bukan kerana pilihan semata-mata tetapi disebabkan keperluan untuk membantu keluarga dan mengurangkan beban kehidupan.
Namun tidak semua perjalanan itu berakhir dengan kepulangan. Tragedi pertembungan kereta api berhampiran Jakarta baru-baru ini meragut nyawa penumpang termasuk wanita yang sedang dalam perjalanan pulang. Mereka bukan sekadar pekerja di dalam gerabak tetapi insan yang telah menghabiskan tenaga seharian dan sedang kembali kepada keluarga yang menanti di rumah.
“Ibu janji balik cepat malam ini… kita makan sama-sama,” mungkin itu janji yang sempat diucapkan, namun tidak sempat ditunaikan. Di sinilah Hari Pekerja yang disambut pada setiap 1 Mei membawa makna yang lebih mendalam. Ia bukan sekadar tentang pekerjaan, gaji atau ekonomi tetapi tentang manusia dan kisah pengorbanan di sebalik setiap rezeki yang dicari.
Kita turut mengingati enam anggota bomba yang terkorban ketika menyelamatkan mangsa lemas. Mereka turun dengan keberanian luar biasa, sedar akan risiko yang menanti tetapi tetap melangkah kerana nyawa orang lain lebih utama. Begitu juga anggota polis yang terkorban dalam kemalangan ketika bertugas menjaga keselamatan masyarakat.
Seorang jururawat pula meneruskan perjalanan ke tempat kerja untuk merawat pesakit, membawa amanah dan keikhlasan, namun tidak sempat tiba ke destinasi. Setiap mereka keluar rumah dengan tanggungjawab yang besar, membawa harapan orang lain dalam setiap langkah.
“Ibu pergi kerja dulu ya… nanti ibu balik kita cerita lagi,” kata-kata yang kelihatan biasa tetapi sarat dengan kasih sayang. Di sudut lain, seorang bapa turut melangkah keluar dengan janji kecil, “Ayah balik nanti belikan mainan.” Janji itu mungkin sederhana tetapi menjadi sumber semangat untuk terus bekerja walaupun penat.
Sama ada ibu, bapa, bomba, polis atau jururawat, semuanya berkongsi satu persamaan yang sama. Mereka keluar bukan untuk diri sendiri tetapi untuk orang yang mereka sayangi dan masyarakat yang mereka lindungi.
Namun realitinya, tidak semua perjalanan menjanjikan kepulangan yang selamat. Di rumah, ada suara kecil yang terus bertanya, “Ibu bila nak balik?” atau “Ayah mana mainan yang dijanjikan?” menunggu di sebalik pintu yang tidak lagi terbuka seperti dahulu.
Hari Pekerja wajar menjadi peringatan bahawa di sebalik setiap pekerjaan, ada pengorbanan yang sunyi. Di sebalik setiap rezeki, ada usaha yang tidak selalu dihargai. Dan di sebalik setiap kepulangan, ada risiko yang sering kita lupa.
Terima kasih kepada mereka yang terus bekerja dengan penuh tanggungjawab, walaupun penat dan berisiko. Dan kepada mereka yang tidak sempat pulang, pengorbanan mereka kekal hidup dalam ingatan, sebagai makna sebenar sebuah amanah kehidupan.-UTUSAN
WAN FAIZATUL AZIRAH ISMAYATIM
Akademi Pengajian Bahasa,
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam










