Saya menulis sebagai veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hampir empat dekad mengabdikan diri kepada pasukan itu.
Ini bukan suara pemberontakan. Ini suara keprihatinan. Suara yang sayangkan organisasi ATM walaupun telah lama meninggalkan perkhidmatan.
Kita melihat satu pola yang tidak boleh lagi dianggap kebetulan. Sebaliknya, semakin jelas apabila wujud dakwaan memperlihatkan ketidakadilan yang disengajakan.
Dalam kes melibatkan bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Hafizudeen Jantan, yang dikaitkan dengan isu rasuah sehingga mencemarkan imej Tentera Darat dan ATM. Dalam kes ini, beliau dinasihatkan untuk berundur. Penggantinya? Seorang pegawai kanan daripada kor yang sama – Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Alasannya jelas: “Hanya RAMD yang memahami dan mampu membetulkan keadaan.”
Kes kedua melibatkan bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Nizam Jaafar. Dakwaan hampir serupa melibatkan rasuah. Imej tercalar, pengunduran berlaku. Sekali lagi, penggantinya daripada RAMD. Justifikasi pun tetap sama, “RAMD lebih memahami berbanding perkhidmatan lain”.
Namun, apabila kita melihat kes bekas Ketua Pengarah Risikan, standard itu tiba-tiba berubah.
Beliau dinasihatkan berhenti awal atas dakwaan salah laku dan isu tatakelola. Jika kita berpegang kepada prinsip yang sama, maka secara logiknya, pengganti sepatutnya datang daripada Kor Risik juga kerana memahami budaya kerja, sensitiviti operasi dan kompleksiti fungsi risikan.
Tetapi jawatan tersebut cuba diberikan kepada pegawai dari luar – daripada RAMD.
Di sinilah persoalan besar timbul, jika dalam kes RAMD, ‘orang dalam’ dianggap paling layak untuk membetulkan keadaan, mengapa prinsip sama tidak terpakai kepada risikan, sebuah organisasi yang lebih kompleks?
Mengapa pegawai yang tidak mempunyai latar belakang risikan, tidak memahami ekosistem kerja risik dan tiada pengalaman mendalam dalam bidang tersebut, diberi kepercayaan?
Dalam pelantikan PAT, bukankah secara logiknya peluang sepatutnya dibuka kepada perkhidmatan lain? Mengapa tidak diberikan kepada Tentera Laut? Mengapa tidak kepada Tentera Udara?
Adakah pihak atasan ingin mengatakan tiada pegawai berintegriti dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)?
Ini adalah dwistandard yang jelas, bukan lagi persepsi. Ini sudah menjadi realiti yang diperkatakan secara terbuka di peringkat pegawai, peringkat anggota, malah dalam kalangan pemerhati luar.
Lebih membimbangkan, bisikan tentang campur tangan luar diterima sebagai realiti dan menjadi normalisasi!
Apabila standard berubah-ubah mengikut kes, apabila prinsip hanya digunakan secara selektif, maka yang terhakis bukan sahaja kepercayaan dalaman tetapi juga kredibiliti keseluruhan institusi.
Jika keadaan ini tidak diperbetulkan atau disenyapkan, kesannya bukan sekadar kepada imej tetapi kepada kesiapsiagaan, keyakinan anggota dan keyakinan rakyat terhadap institusi ATM itu sendiri. –UTUSAN
VETERAN ATM
Kuala Lumpur










