GUA MUSANG: Penduduk Kampung Bertam Lama di sini, mendakwa aktiviti pam pasir di Sungai Nenggiri mengubah struktur tebing sungai dan mengancam tanah perkuburan serta sumber air mereka.
Kebimbangan itu memuncak apabila hakisan tebing sungai semakin serius sehingga jarak kawasan perkuburan dengan sungai mengecil sekali gus menimbulkan risiko runtuh terutama ketika musim tengkujuh.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Bertam Lama, Mohd. Azhri Hasan berkata, penduduk bimbang hakisan berterusan menjejaskan tanah perkuburan yang terletak kurang 500 meter dari tebing Sungai Nenggiri.
“Aktiviti pam pasir terlalu hampir dengan kawasan kubur. Kita risau apabila tiba musim hujan nanti, hakisan menjadi lebih buruk sehingga menjejaskan tanah perkuburan penduduk.
“Kawasan tebing sungai dan belakang kubur juga sudah dibersihkan dan semakin hari kawasan yang terdedah semakin luas,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Perubahan keadaan sungai sejak operasi pam pasir bermula Disember lalu turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk dan alam sekitar.
Seorang penduduk, Mohd. Halim Dolmat, 53, berkata, air Sungai Nenggiri yang makin keruh, menimbulkan persoalan mengenai kesannya terhadap sumber air penduduk kampung.
Katanya, jalan kampung mengalami kerosakan akibat kenderaan berat yang berulang-alik mengangkut pasir setiap hari. – UTUSAN










