KRISIS politik di Negeri Sembilan berpunca daripada ketidakserasian antara sistem pilihan raya kita yang lapuk dengan landskap politik yang kini terbahagi. Jika kedua-dua tidak berubah, maka krisis sebegini mungkin berulang pada masa hadapan.
Pengundi merasa dikhianati apabila sekutu berpaling tadah. Ini yang berlaku di Negeri Sembilan apabila pengundi diseru mengundi UMNO sebagai sekutu Pakatan Harapan (PH) dan kini UMNO meninggalkan PH.
Krisis politik Negeri Sembilan menyerlahkan keperluan untuk mencari penyelesaian terhadap punca kemarahan pengundi yang lebih rumit: tindakan sesebuah parti keluar secara beramai-ramai daripada pakatan pilihan raya dan perkongsian kuasa.
Cara penyelesaian secara institusi adalah dengan menambah kerusi Perwakilan Berkadar Senarai Tertutup (CLPR) di atas kerusi FPTP yang sedia ada. Ini akan memberikan pengundi dua undi, satu untuk calon tempatan dan satu untuk mana-mana parti di peringkat negeri.
Sebagai contoh, di Negeri Sembilan, jika 12 kerusi CLPR ditambahkan kepada 36 kerusi First-Past-The-Post (FPTP), berdasarkan peratusan undi 2023 (PH 39%, BN 38%, PN 22%), ini akan menghasilkan pengagihan sebegini rupa: PH (5), Barisan Nasiona (BN) (5), Perikatan Nasional (PN) (2).
Keputusan dengan jurang kerusi yang kecil ini pastinya akan mendorong peningkatan jumlah pengundi kerana pengundi boleh menyokong parti pilihan mereka melalui kertas undi CLPR tanpa mengira siapa calon di kawasan tempatan mereka.
Ini akan memaksa setiap parti untuk berusaha meraih kepercayaan penyokong parti sekutu, dan bukannya sekadar bergantung kepada kerjasama gabungan untuk menang. Dengan itu, mana-mana parti yang mempertimbangkan untuk ‘bercerai’ selepas pilihan raya akan terpaksa berfikir panjang, memandangkan mereka tidak lagi boleh menuai undi rakan sekutu dengan mudah.
Pindaan Perkara 116 dan 117 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan CLPR merupakan tugas yang sukar, namun dialog ini perlu mula sekarang. Kebimbangan sistem seumpama ini akan mendalamkan lagi polarisasi politik Malaysia wajar ditangani melalui perdebatan awam yang serius dan berasaskan fakta dan bukan dengan penolakan idea baharu atas emosi.
Sehingga reformasi tersebut dilaksanakan, Projek SAMA menggesa perkara berikut:
- Untuk parti politik: Elakkan daripada memasuki gabungan kekal atau menolak secara mutlak kemungkinan perkongsian kuasa secara mutlak dengan parti-parti tertentu melainkan mereka yakin penuh janji tersebut mampu ditepati. Parti politik/gabungan harus memilih pakatan pilihan raya yang terhad dengan parti yang lebih serasi di mana sesetengah pertandingan pelbagai penjuru dibenarkan, sekaligus menyajikan pilihan untuk pengundi.
- Untuk pengundi: Tindakan tidak mengundi tidak akan mengurangkan kekecewaan, sebaliknya hanya mengurangkan kuasa politik pengundi. Pilihan yang terbaik adalah sekiranya parti pilihan (A) bertanding di kawasan mereka, undilah parti tersebut; namun, jika hanya parti (B) yang merupakan sekutu parti (A) bertanding, maka pengundi perlu meneliti secara kritis kredibiliti parti (B) tersebut.
Tatkala Malaysia sedang berhadapan dengan krisis ekonomi global ekoran peperangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran, semua pihak dan institusi mestilah bertindak dengan penuh tanggungjawab.
Rakyat Malaysia berhak menikmati kestabilan yang bukan bermaksud ketiadaan perubahan, sebaliknya pengekalan ketentuan dan kepercayaan awam dalam mendepani perubahan yang diperlukan. Bagi mencapai kestabilan, kita harus sentiasa meneliti pembentukan institusi dan corak tingkah laku demi menghapuskan insentif yang salah. -UTUSAN
PROJEK SAMA
Kuala Lumpur










