Kes Nurfisya dedah kelemahan maklumat palsu

Kes Nurfisya dedah kelemahan maklumat palsu

KES Nurfisya seharusnya menjadi peringatan kepada bahawa dalam setiap tragedi, maruah mangsa dan keluarga mesti dijaga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA berita yang hanya lalu di skrin telefon, kemudian hilang begitu sahaja. Tetapi ada juga berita yang singgah lebih lama di hati, meninggalkan rasa sedih, marah dan pilu yang sukar dijelaskan. Kes Nurfisya Zulkifly, yang ditikam 61 kali sehingga maut adalah salah satunya.

Belum pun siasatan selesai, media sosial sudah dipenuhi dengan pelbagai angka, cerita dan andaian. Ada yang dikongsi atas dasar prihatin, ada yang kerana terikut-ikut dan ada juga yang mahu menjadi orang pertama menyampaikan ‘berita’. Tetapi dalam isu sebesar ini, niat yang baik sahaja tidak mencukupi. Tanpa semakan, perkongsian yang salah tetap membawa mudarat.

Penyebaran maklumat tidak sahih bukan perkara kecil. Ia boleh mengelirukan masyarakat, menjejaskan emosi keluarga dan dalam keadaan tertentu, mengganggu perjalanan siasatan. Apabila terlalu banyak spekulasi beredar, masyarakat mula membina kesimpulan sendiri. Ada yang cepat menghukum.

Ada yang mencipta teori. Ada yang menganggap apa sahaja yang tular itu benar. Sedangkan kebenaran dalam kes jenayah bukan dibina atas emosi atau sangkaan, tetapi atas bukti, penelitian dan proses undang-undang.

Justeru, sudah tiba masanya kita mencari jalan penyelesaian yang lebih nyata. Pertama, masyarakat perlu membina disiplin digital. Sebelum menekan butang kongsi, semak dahulu sumber maklumat. Tanya diri sendiri, adakah ini kenyataan rasmi, laporan media yang sahih atau sekadar mesej yang dipanjangkan tanpa kepastian? Budaya semak sebelum sebar mesti menjadi amalan biasa, bukan pilihan.

Kedua, pendidikan literasi media perlu diperkukuh sejak di bangku sekolah lagi. Anak-anak dan remaja hari ini hidup dalam dunia maklumat tanpa sempadan. Mereka perlu diajar membezakan antara fakta dan pendapat, antara berita dan khabar angin, serta antara rasa ingin tahu dengan tanggungjawab moral. Jika kemahiran ini tidak dipupuk awal, generasi muda akan terus terdedah kepada budaya penyebaran tanpa tapisan.

Ketiga, media arus perdana dan pihak berkuasa perlu terus memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat yang cepat, jelas dan konsisten. Dalam banyak keadaan, kekosongan maklumat rasmi membuka ruang kepada spekulasi. Apabila penjelasan yang tepat sampai lambat, khabar angin akan mendahului. Oleh itu, komunikasi yang berkesan dan berhemah amat penting supaya masyarakat tidak bergantung pada sumber yang meragukan.

Keempat, setiap pengguna media sosial mesti menghidupkan semula nilai empati dalam penggunaan teknologi. Tidak semua perkara perlu dikomen. Tidak semua gambar perlu dikongsi. Tidak semua cerita perlu ditularkan. Kadang-kadang, tindakan paling beradab ialah memilih untuk diam, menghormati ruang keluarga mangsa, dan menunggu fakta yang disahkan.

Kes Nurfisya seharusnya menjadi peringatan kepada kita bahawa dalam setiap tragedi, maruah mangsa dan keluarga mesti dijaga. Akhirnya, ukuran kemanusiaan bukan hanya pada rasa sedih yang diluahkan tetapi pada kebijaksanaan kita mengawal diri.-UTUSAN

DR. MUHAMMAD AMIN AHMAD ZAKI
Pensyarah Kanan Kejururawatan,
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Bertam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN