Hari Guru: Dilema ‘lilin’ padam sebelum waktunya

Hari Guru: Dilema ‘lilin’ padam sebelum waktunya

PENGHARGAAN paling bermakna buat seorang guru bukanlah sekadar hadiah bermusim, tetapi anjakan menyeluruh terhadap ekosistem kerja mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG 16 Mei ini, tirai sambutan Hari Guru kembali dibuka dengan deretan cenderamata dan sambutan gemilang di pelbagai peringkat. Namun, di sebalik retorik sambutan ini, tersirat kemelut meruncing iaitu dilema bebanan tugas guru yang melangkaui mandat asal mendidik.

Memasuki tahun 2026, landskap pendidikan negara berdepan cabaran yang lebih kompleks. Meskipun integrasi teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) diperkenalkan bagi memudahkan urusan, realitinya ramai pendidik terperangkap dalam ‘kelesuan digital’. 

Kajian bebanan tugas bagi tahun 2026 menunjukkan guru menghabiskan hampir 40 peratus waktu kerja mingguan mereka untuk urusan pentadbiran.

Pengisian pangkalan data bersepadu yang sering mengalami gangguan teknikal, dokumentasi modul intervensi murid yang kompleks, serta pelaporan prestasi secara ‘real-time’ telah meragut waktu berkualiti yang sepatutnya digunakan untuk merancang pengajaran kreatif di bilik darjah.

Kesannya amat membimbangkan. Fenomena guru memilih untuk bersara awal kini menjadi krisis senyap yang perlu dicakna. Negara kehilangan ‘nakhoda’ yang berpengalaman bukan kerana lunturnya kecintaan terhadap tugas, tetapi akibat kelesuan serta tekanan emosi yang melampau. 

Apabila guru veteran meninggalkan sistem lebih awal, jurang bimbingan juga semakin melebar, sekaligus menjejaskan kestabilan ekosistem sekolah yang memerlukan keseimbangan antara tenaga muda dan pengalaman guru veteran yang luas.

Ibu bapa yang dihimpit tekanan ekonomi global juga meletakkan harapan yang cukup tinggi terhadap institusi sekolah. Bagi mereka, pendidikan berkualiti adalah satu-satunya instrumen mobiliti sosial yang tidak boleh dikompromi.

Kualiti pengajaran seharusnya menjadi keutamaan mutlak, bukannya dikorbankan demi memenuhi tuntutan pentadbiran yang berorientasikan data semata-mata.

Justeru, penghargaan paling bermakna buat seorang guru bukanlah sekadar hadiah bermusim, tetapi anjakan menyeluruh terhadap ekosistem kerja mereka. Pembuat dasar perlu berani mengembalikan guru kepada tugas hakiki iaitu mendidik dan memanusiakan anak bangsa. 

Jangan biarkan ‘lilin’ negara ini terpadam hanya kerana kita menambah lagi beban yang sudah sedia ada. Sudah tiba masanya kita beralih daripada sekadar retorik sambutan kepada tindakan penyelesaian yang tuntas dan ikhlas.-UTUSAN

 

IZA FARADIBA MOHAMMAD PATEL

Akademi Pengajian Bahasa

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN