DI Malaysia, Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan produk teknologi kewangan (fintech) dan pembayaran digital mematuhi syariah.
Mereka menilai struktur kontrak, mekanisme transaksi dan sumber keuntungan sesuatu platform kewangan sebelum ia diiktiraf sebagai patuh syariah. Ini penting bagi memastikan masyarakat menggunakan sistem kewangan digital yang sah dan diyakini.
Teknologi kewangan merujuk kepada penggunaan teknologi digital bagi menyediakan perkhidmatan kewangan seperti pembayaran elektronik, pemindahan wang, pelaburan, pembiayaan dan pengurusan kewangan secara lebih efisien. Dalam konteks Islam, fintech patuh syariah bermaksud semua operasi dan transaksi kewangan yang dijalankan mestilah mematuhi prinsip-prinsip syariah.
Antara prinsip utama kewangan Islam ialah: Larangan riba; larangan gharar (ketidakpastian melampau), larangan maysir (perjudian); menegakkan konsep keadilan dan ketelusan serta melibatkan aktiviti pelaburan yang halal.
Sistem pembayaran patuh syariah pula merangkumi penggunaan instrumen pembayaran digital yang bebas daripada unsur haram dan mematuhi kontrak Islam yang sah seperti wakalah, ujrah, murabahah, musyarakah dan hibah.
Ramai pengguna menggunakan aplikasi kewangan digital tanpa memahami struktur operasi di sebaliknya. Ada platform yang menawarkan pulangan yang tidak munasabah, caj tersembunyi atau skim pelaburan yang mengandungi unsur riba dan penipuan.
Ilmu kewangan digital membantu masyarakat membuat keputusan kewangan secara lebih berhati-hati. Pengguna yang celik fintech akan lebih memahami aspek keselamatan siber, perlindungan data peribadi dan risiko penipuan dalam transaksi digital.
Pada hari ini, jenayah siber seperti scam, phishing dan penipuan transaksi semakin meningkat. Kekurangan ilmu menyebabkan ramai pengguna menjadi mangsa kehilangan wang simpanan. Oleh itu, pendidikan kewangan digital perlu diperkasakan dalam kalangan masyarakat sejak peringkat sekolah lagi.
Walaupun perkembangan fintech Islam semakin pesat, masih terdapat beberapa cabaran dan ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan, kerajaan, institusi kewangan Islam dan media massa dalam memperkukuhkan pendidikan kewangan Islam digital.
Universiti dan sekolah perlu memperkenalkan pendidikan fintech Islam dalam silibus pembelajaran bagi melahirkan generasi yang celik kewangan digital dan memahami prinsip muamalat Islam.
Bank dan syarikat fintech Islam perlu menyediakan penerangan yang jelas dan mudah difahami tentang produk dan perkhidmatan kewangan yang ditawarkan agar masyarakat lebih yakin menggunakan perkhidmatan tersebut.
Pihak kerajaan juga perlu memperkukuhkan dasar perlindungan pengguna digital dan memperluaskan program kesedaran berkaitan keselamatan kewangan siber serta kepentingan transaksi patuh syariah.
Akhir sekali masyarakat sendiri perlu mengambil inisiatif mempelajari ilmu kewangan Islam dan teknologi digital agar tidak mudah terpengaruh dengan skim penipuan atau transaksi yang meragukan.
Sebagai umat Islam, setiap perkembangan teknologi perlu digunakan selaras dengan prinsip syariah. Oleh itu, masyarakat perlu meningkatkan ilmu pengetahuan berkaitan fintech dan sistem pembayaran patuh syariah agar urusan kewangan menjadi lebih selamat, telus dan diberkati.
Gabungan antara teknologi moden dan prinsip Islam mampu melahirkan sistem kewangan yang lebih adil, inklusif dan mampan. Dengan ilmu dan kesedaran yang tinggi, masyarakat bukan sahaja dapat memanfaatkan kemudahan teknologi, malah dapat memastikan setiap transaksi menjadi ibadah yang mendatangkan keberkatan di dunia dan akhirat. –UTUSAN
MEJAR PROFESOR MADYA DR. MOHD ADIB ABD MUIN & DR. AZIZAH CHE OMAR
Universiti Utara Malaysia (UUM)










