Tangguh dahulu kemasukan pekerja asing baharu

Tangguh dahulu kemasukan pekerja asing baharu

KEMASUKAN pekerja asing baharu berisiko menjejaskan usaha kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada kelompok ini kepada 10 peratus menjelang 2030 dan lima peratus pada 2035.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA dan Bangladesh dilaporkan akan mempercepat proses kemasukan baharu pekerja asing negara berkenaan ke Malaysia.

Pembukaan sektor pekerjaan untuk kemasukan baharu pekerja asing diharap dapat ditangguhkan dahulu. Usaha Kerajaan Madani untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing membuahkan hasil. Bilangan pekerja asing menunjukkan penurunan sebanyak 319,432 orang dengan jumlah pekerja asing aktif setakat Oktober 2025 adalah seramai 2,132,578 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. 

Setakat ini, pekerja asing dari Bangladesh mencatat bilangan tertinggi diikuti Indonesia dan Nepal. Kemasukan baharu ini juga akan menjejaskan sasaran kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan pekerja asing kepada 10 peratus menjelang 2030 dan 5 peratus pada 2035 seperti diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). 

Tidak dinafikan sumbangan pekerja asing dalam pembangunan negara tetapi bilangan warga asing yang terlalu ramai menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat. Tidak semua pekerja ini tinggal di penempatan asrama pekerja berpusat.  

Sebaliknya masih ramai yang bebas menyewa di kawasan penempatan yang sama dengan bersama-sama warga tempatan menyebabkan isu masalah sosial, kebersihan dan ancaman penyakit berjangkit. Pekerja asing ini turut menggunakan kemudahan kesihatan awam yang disediakan kerajaan.

 Alasan yang selalu diberi adalah pengambilan pekerja asing dikatakan hanya untuk mengisi kekosongan di sektor 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar yang kurang diminati rakyat tempatan. Tetapi kini pekerja asing didapati bekerja di sektor barisan hadapan di kedai serbaneka dan stesen minyak sebagai juruwang.

Di sektor perkilangan warga asing didapati menjawat jawatan sebagai penyelia kepada pekerja tempatan. Majikan akan kurang berinisiatif untuk beralih kepada teknologi automasi, robotik dan kecerdasan buatan (AI)  jika bekalan buruh asing masih mudah didapati dengan kos semakin rendah. 

Peralihan kepada teknologi canggih dapat menarik minat anak muda menyertai sektor yang lazimnya dikuasai pekerja asing.

Kebanjiran pekerja asing juga menyukarkan pihak berkuasa mengawal aktiviti sebenar mereka yang melanggar syarat pas lawatan kerja sementara (PLKS) dengan terlibat dalam aktiviti perniagaan. Fenomena ini sudah semakin berleluasa terutama sekali melibatkan warga Bangladesh seperti yang selalu dilaporkan oleh pihak media arus perdana serta ditularkan oleh aktivis masyarakat dan orang awam. 

Terdapat juga warga Bangladesh yang menjadi usahawan tani dengan menyewa tanah rakyat tempatan serta membuka syarikat ejen pekerja. 

Pembukaan semula sektor pekerjaan kepada pekerja negara berkenaan akan menyebabkan aktiviti penguasaan peluang perniagaan oleh rakyat asing ini sukar dibendung dan memberi kesan kepada rakyat tempatan yang benar-benar ingin berniaga.  

Usaha perlu diteruskan bagi menarik minat golongan belia untuk menyertai sektor pekerjaan dengan penjenamaan semula sektor 3D, memperkasa program Akademi Dalam Industri (ADI), pengenalan kadar upah lebih menarik dan serta waktu kerja lebih fleksibel. 

Galakkan belia menganggur terutama di Sabah yang dilaporkan  mencatat angka 10 peratus bagi suku keempat 2025 untuk berhijrah ke Semenanjung bagi ditempatkan di sektor pekerjaan. Agak rugi jika tenaga belia kita tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi membangunkan negara hingga terpaksa bergantung kepada tenaga kerja luar.

Sebagai langkah jangka masa panjang untuk mengurangkan kebergantungan berterusan kepada pekerja asing di masa hadapan, dicadangkan agar insentif khas diberi untuk menggalakkan pasangan berkahwin memiliki ramai anak.-UTUSAN

BEKAS PEKERJA 3D

Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN