Penat jadi ‘pelacur’ seni - Iqram Dinzly - Utusan Malaysia

Penat jadi ‘pelacur’ seni – Iqram Dinzly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Iqram Dinzly menasihati pendatang baharu dalam industri seni agar tidak hanyut dengan populariti yang diraih.

Berkongsi pengalaman lebih 20 tahun dalam industri, Iqram atau Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 45, berkata dia sudah menyaksikan ramai penggiat seni yang tewas dan tidak mampu bertahan dalam industri kerana bersikap angkuh.

“Pesan saya, lalui dahulu dan rasai secukupnya populariti itu serta manfaatkan sebaik mungkin. Namun, jangan sampai tersungkur barulah mahu sedar kesilapan.

“Pada zaman kemuncak ini, gunakan peluang sebaiknya dan jangan hilang jati diri supaya tidak terjunam ke dalam gaung yang dalam. Itu sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semasa sesi fotografi di sini, hari ini.

Bagaimanapun, pelakon drama Dunia Baru itu enggan bersikap skeptikal dan pukul rata semua pendatang baharu, sebaliknya bersyukur melihat kemunculan ramai bakat muda dalam industri.

“Saya tidak mahu bersangka buruk terhadap generasi muda sekarang. Malah, saya bersyukur apabila semakin ramai pelapis baharu, tidak kira lelaki atau perempuan. Namun, persaingan kini semakin sengit.

“Jangan jadi ‘pelacur’ terang-terangan. Pandailah tafsir sendiri maksud saya. Tidak salah untuk popular atau dikenali, tetapi jangan salah guna populariti tersebut.

“Saya bercakap berdasarkan pengalaman, penat menjadi ‘pelacur’ seni,” ujarnya.

Tambahnya, sikap rendah diri menjadi kunci untuk seseorang pelakon kekal relevan dalam industri, seperti yang dibuktikan oleh beberapa selebriti tempatan.

“Ambil contoh artis seperti Alif Satar, Hairul Azreen, Zamarul Hisham, Aaron Aziz dan Zizan Razak.

“Mereka menggunakan populariti ke arah kebaikan dan menjaga imej. Tidak salah untuk menjadi popular,” katanya.

Terdahulu, timbul beberapa isu membabitkan penggiat seni yang didakwa tidak berdisiplin di set penggambaran selain bersikap hidung tinggi selepas meraih populariti.

Malah baru-baru ini isu tersebut turut hangat dibincangkan di aplikasi Threads apabila beberapa individu turut berkongsi pengalaman buruk mereka berhadapan dengan segelintir artis. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN