ADA satu kelompok yang sering terlepas daripada perhatian apabila bercakap tentang harga minyak, iaitu pengguna bas awam.
Bagi sebahagian rakyat, bas bukan pilihan kedua tetapi satu-satunya yang ada. Pelajar, pekerja berpendapatan rendah, warga emas dan penduduk di kawasan yang akses mobilitinya terhad sangat bergantung kepada bas untuk ke sekolah, tempat kerja, klinik dan untuk urusan harian yang lain. Jika bas terganggu, kehidupan harian mereka turut terganggu.
Hakikatnya, sebahagian besar operasi bas awam masih bergantung pada diesel. Sebelum konflik Asia Barat memuncak lagi, sebahagian pengendali sudah pun beroperasi dengan margin yang sangat kecil. Malah, ada laluan yang memang rugi terutama di kawasan yang permintaannya rendah.
Disebabkan itu, kerajaan sejak sekian lama terpaksa membantu menampung operasi laluan tertentu supaya perkhidmatan yang masih diperlukan rakyat dapat diteruskan.
Walaupun diesel bagi pengangkutan awam darat yang layak masih dilindungi subsidi, namun sektor ini tidak boleh dianggap kebal.
Masalahnya ialah banyak laluan sudah lama beroperasi dalam keadaan rapuh. Apabila sesuatu laluan hidup dengan margin yang terlalu kecil, sebarang tekanan berpanjangan terhadap operasi keseluruhan boleh menjejaskan kelangsungan perkhidmatan.
Tekanan itu mungkin datang daripada kos penyelenggaraan, alat ganti, penggantian kenderaan, penurunan jumlah penumpang atau ketidakcekapan operasi yang berlarutan. Jika keadaan ini berterusan menyebabkan laluan yang sedia lemah berdepan pengurangan kekerapan atau gangguan perkhidmatan.
Apabila hal itu berlaku, pelajar mungkin berdepan masalah untuk ke sekolah atau kolej. Pekerja berpendapatan rendah mungkin terpaksa menanggung masa perjalanan yang lebih panjang dan kos perjalanan lebih tinggi. Warga emas pula boleh terjejas untuk mendapatkan rawatan atau menjalankan urusan harian.
Kita tidak boleh menilai mobiliti rakyat hanya dari sudut bas dan rel semata-mata. Realiti di lapangan menunjukkan sambungan dari rumah ke stesen atau hentian pengangkutan awam sehingga destinasi akhir masih belum memuaskan di banyak tempat.
Ramai pengguna tidak tinggal berhampiran stesen. Manakala sebahagian lain terpaksa berjalan jauh atau mencari mod pengangkutan tambahan untuk melengkapkan perjalanan harian. Dalam keadaan inilah teksi, van pengantara dan e-hailing memainkan peranan penting.
Bagi kebanyakan rakyat, e-hailing bukan lagi perkhidmatan mewah. Ia menjadi penyambung penting dari rumah ke stesen, stesen ke tempat kerja, atau terus ke destinasi apabila perkhidmatan bas dan rel tidak cukup dekat atau tidak cukup kerap. Apabila kos bahan api meningkat, pemain dalam sektor ini turut tertekan.
Atas sebab itu, kita memerlukan lebih daripada sekadar subsidi. Laluan bas yang sedia lemah perlu dipantau rapi dan sokongan operasi mesti sampai kepada perkhidmatan yang benar-benar diperlukan rakyat. Perkhidmatan pengantara, van komuniti, teksi dan e-hailing juga perlu diperkukuh untuk melengkapkan perjalanan harian.
Kenaikan harga minyak hari ini bukan gangguan kecil yang boleh dipandang sepi. Ia mendedahkan kelemahan lama yang masih belum diperbetulkan. Jika negara terus bergantung pada sistem yang rapuh, membebankan dan tidak cukup anjal, maka setiap kali dunia bergolak, rakyat jugalah yang akan menanggung akibatnya. Sudah tiba masanya sistem pengangkutan negara diubah, bukan esok tetapi sekarang.-UTUSAN
DR. NORDIANA MASHROS & PROFESOR DR. MUHAMMAD ZALY SHAH
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)










