Siapa mengawal naratif digital?

Siapa mengawal naratif digital?

LEBIH 88 peratus pengguna internet di Malaysia bergantung media sosial sebagai sumber maklumat harian, sekali gus membuka ruang luas manipulasi maklumat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era digital hari ini, pengguna media sosial menatal kandungan dalam beberapa saat tanpa menyedari satu proses psikologi yang kompleks sedang berlaku di sebalik setiap paparan skrin. 

Setiap susunan visual, rangka kapsyen dan algoritma yang bergerak di belakang tabir membentuk satu ekosistem komunikasi  bukan sekadar menyampaikan maklumat tetapi turut mempengaruhi cara manusia berfikir, merasa dan membuat keputusan.

Dunia komunikasi semakin kabur dalam membezakan antara pengaruh dan manipulasi. Kedua-duanya menggunakan elemen yang sama seperti naratif, emosi, visual dan kepercayaan, namun berbeza pada niat dan etika. Pengaruh membina kefahaman dan kepercayaan, manakala manipulasi mengeksploitasi kelemahan psikologi untuk keuntungan sebelah pihak. Dalam dunia digital yang serba pantas, garis pemisah ini semakin sukar dikenal pasti.

Fenomena ini jelas berlaku dalam pelbagai sektor. Dalam industri kewangan, contohnya, organisasi menggunakan komunikasi strategik untuk mendidik masyarakat tentang penipuan dalam talian. Pendekatan ini bukan sahaja melindungi pengguna, malah membina kepercayaan terhadap institusi tersebut. Ini menunjukkan pengaruh yang beretika apabila komunikasi berfungsi sebagai alat pendidikan.

Namun begitu, tidak semua komunikasi berasaskan kebenaran. Dalam industri kecantikan digital, sesetengah pihak menggunakan visual menarik dan testimoni emosional tanpa bukti kukuh untuk mempengaruhi pengguna. 

Kajian Global Wellness Institute menunjukkan industri kecantikan bernilai lebih AS$ 500 bilion (RM2.35 trilion), dipacu pemasaran digital dan pempengaruh. 

Di Malaysia pula, lebih 88 peratus pengguna internet bergantung kepada media sosial sebagai sumber maklumat harian. Situasi ini membuka ruang luas kepada manipulasi maklumat.

Apabila komunikasi membina ilusi, ia berubah menjadi bentuk eksploitasi psikologi. Pengguna cenderung mempercayai maklumat yang selari dengan emosi dan kepercayaan mereka, satu fenomena yang dikenali sebagai confirmation bias. Apabila strategi komunikasi menyasarkan ketidakadilan ini, keputusan pengguna tidak lagi berasaskan fakta tetapi emosi yang dipengaruhi.

Kesan jangka panjangnya amat besar apabila ia menghakis kepercayaan sosial. Masyarakat mula meragui setiap maklumat, sekali gus mewujudkan budaya skeptikal yang berlebihan. Dalam masa sama, kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan deepfake mempercepatkan penyebaran kandungan palsu.

Namun, dalam kekeliruan ini, kuasa sebenar kini berada pada masyarakat. Pengguna hari ini lebih kritikal, mereka menilai maklumat dengan lebih teliti dan menuntut keaslian dalam setiap komunikasi.

Akhirnya, persoalannya bukan sama ada komunikasi mempengaruhi manusia tetapi bagaimana pengaruh itu digunakan. 

Dalam dunia yang sarat maklumat, kebenaran mungkin tidak selalu paling kuat tetapi tetap paling kekal dan paling dipercayai.-UTUSAN

 

REFQAH SOFEA MOHD. SOFI & NURUL NISHA MOHD. SHAH

Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, 

Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Rembau

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN