KERAJAAN disaran supaya memberi keutamaan berkaitan cadangan projek menaiktaraf Hospital Bukit Mertajam yang terletak ditengah pusat bandar dengan kapasiti melebihi 200,000 penduduk daripada jumlah keseluruhan populasi Seberang Perai Tengah.
Cadangan berkenaan sudah kedengaran sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) namun sehingga kini hanya layak diklasifikasikan mimpi indah di siang hari.
Malah cadangan berkenaan pernah dibahaskan menerusi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), namun tiada respon positif.
Difahamkan kerajaan negeri sudah mengenal pasti sebidang tanah seluas lebih kurang 8 ekar (hak milik Perbadanan Ketua Menteri) berhampiran hospital sedia ada serta lokasi berkenaan amat bersesuaian.
Turut difahamkan Kementerian Kesihatan sepatutnya mengambil alih milikkan tanah berkenaan secara terus bagi tujuan merealisasikan cadangan naik taraf berkenaan.
Disebebakan kelewatan ini, hampir 400,000 penduduk menghadapi kesukaran dalam mendapatkan rawatan. Malah, ada pesakit yang terpaksa mendapatkan rawatan hospital di Kulim gara-gara gawatnya situasi fasiliti serta terhadnya bilangan pegawai perubatan.
Beberapa faktor utama yang dianggap terdesak bagi tujuan cadangan mewujudkan projek menaiktaraf hospital berkenaan yang dibina pada 1891 ialah:
– Jumlah terhad katil Unit Rawatan Rapi (ICU) malah ada pesakit terpaksa dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya. Bayangkan dengan jumlah populasi penduduk, memadaikah hanya tujuh katil ICU disediakan??
– Masalah parkir kereta jauh tersasar malah membebankan pesakit serta pelawat sehingga terpaksa meletakkan kenderaan di tepi jalan raya yang sibuk sekali gus memberi risiko kemalangan.
– Perkiraan nisbah 1,000 orang untuk sebuah katil sudah tidak relevan berbanding 1,000 orang untuk dua buah katil seperti mana disyorkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
– Jika memetik rekod dari data sebuah institusi negeri ini, nisbah seorang doktor di hospital ini untuk 684 orang, ini jauh tersasar di bawah sasaran nasional iaitu seorang doktor bagi setiap 400 orang sahaja.
Oleh itu, tiada alasan logik mengapa isu hak milik tanah menjadi halangan. Berdasarkan situasi semasa, sepatutnya langkah-langkah tambah baik dipermudahkan bukannya disulitkan.
Atas ‘keperluan terdesak’ tahap maksimum, diharap peruntukkan khas di bawah Pelan bergulir RMK13 dipertimbangkan sewajarnya.
Sementara di peringkat perancangan kelak, diharapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) wajar memberikan kelulusan segera. –UTUSAN
RAHMAD ISAHAK
Aktivis politik/penduduk Bukit Mertajam










