PENDUDUK yang meminati siaran Radio Klasik di Gugusan Felda Trolak, Perak melahirkan rasa hampa apabila siaran radio berkenaan tidak dapat didengari sejak beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri sehingga kini.
Kami berasa kecewa kerana tidak dapat menikmati siaran Radio Klasik yang banyak menggamit kenangan, khususnya dalam tempoh empat hari menjelang raya hingga ke hari ini. Keadaan ini berbeza dengan stesen radio lain yang masih boleh didengari seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
Gugusan Felda Trolak yang merangkumi Felda Trolak Utara, Felda Trolak Selatan dan Felda Trolak Timur turut terkesan, apabila ramai penduduk mengadu masalah yang sama. Ketiadaan siaran ini amat dikesali, lebih-lebih lagi ketika sambutan Aidilfitri yang sepatutnya diserikan dengan program radio kegemaran kami.
Walaupun ada yang beralih kepada siaran melalui telefon bimbit, namun warga emas khususnya masih lebih selesa mendengar radio melalui corong radio. Justeru, diharapkan pihak bertanggungjawab dapat segera menangani masalah ini agar tidak berlarutan dan siaran Radio Klasik dapat kembali dinikmati seperti sediakala.-UTUSAN










